JOHOR BAHRU – Masyarakat diminta agar tidak membuat spekulasi berhubung kes kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 selagi kes berkenaan masih disiasat bagi mengelakkan mengguris hati keluarga dan mencemar imej institusi tahfiz.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, negara ini mempunyai sistem perundangan yang kukuh dan tidak wajar bagi masyarakat mengadili kes berkenaan sebelum keputusan siasatan diperolehi.
“Saya rasa kita ada undang-undang yang cukup. Jangan kita cetuskan andaian dan spekulasi yang hanya akan mengguris keluarga dan mencemar imej institusi tahfiz.
“Selagi mana tidak ada bukti mengenai kejadian ini, tidak ada keputusan kepada siasatan ini adalah tidak adil untuk menghukum mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menziarahi jenazah dan bertemu keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini kira-kira jam 8.20 malam ini.
Asyraf Wajdi turut menyampaikan sumbangan peribadi Perdana Menteri kepada bapa mangsa, Mohd Gaddafi Mat Karim bagi pengurusan jenazah.
Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, Perdana Menteri turut berharap agar siasatan dapat dijalankan secepat mungkin secara komprehensif agar punca sebenar kematian mangsa diketahui.
“Beliau sedih dan prihatin dengan apa yang berlaku dia turut mengarahkan saya wakili beliau bertemu waris dan menghadiri majlis pengebumian.
“Paling penting pesanan beliau supaya siasatan dapat dijalankan secara komprehensif dan secepat mungkin. Kita mahukan supaya siasatan dapat beri gambaran sebenar apakah punca kematian (mangsa),” katanya.-Sinar
Henti Spekulasi Cemar Imej Institusi Tahfiz
Reviewed by Unknown
on
April 27, 2017
Rating:
No comments: