
KUALA LUMPUR: Pesalah jenayah kanak-kanak atau pedofilia yang tamat menjalani hukuman, wajib didaftarkan dalam Daftar Pelaku Jenayah Kanak-Kanak.
Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) ketika mencadangkannya di Dewan Rakyat, hari ini, berkata mereka juga perlu diletakkan di bawah pengawasan polis serta perlu melaporkan diri setiap bulan agar pergerakan dapat direkodkan.
Selain itu katanya, mereka juga tidak dibenarkan berada dalam lingkungan 300 meter dari kawasan sekolah, taman permainan kanak-kanak dan pusat penjagaan kanak-kanak.
"Pada masa sama mereka juga dilarang bekerja dalam sektor membabitkan kanak-kanak bagi mengelak penjenayah kejam itu mengulangi jenayah sama," katanya membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Irmohizam berkata mengikut undang-undang sedia ada, seksyen 118 Akta Keterangan 1950 dan Akta Sumpah Ikrar menyatakan bahawa kanak-kanak bukan saksi yang kompeten untuk memberikan keterangan.
Bagaimanapun katanya, rang undang-undang berkenaan memberi nafas baharu kepada peruntukan ini dengan asas cadangan peruntukan adalah berdasarkan keupayaan kanak-kanak untuk memberi keterangan yang tepat mengenai sesuatu fakta.
"Ini bermakna keterangan mereka diterima sekiranya kaedah yang digunakan untuk mengemukakan soalan kepada saksi kanak-kanak adalah bersesuaian dengan pemikiran kanak-kanak terbabit," katanya. - BH
Penjenayah Pedofilia Perlu Pengawasan Polis
Reviewed by Azmin
on
April 03, 2017
Rating:
No comments: