Seo Services

Syarikat Malaysia, India Akan Bangunkan Projek Pelabuhan Dan Bandar Raya Maritim Di Pulau Carey

Narendra Modi
NEW DELHI, 3 April (Bernama) -- Syarikat Malaysia dan India akan bekerjasama membangunkan projek pelabuhan dan bandar raya maritim bernilai kira-kira US$32 bilion (US$1=RM4.42) di Pulau Carey, Klang, Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat India berminat terhadap Pulau Carey berikutan lokasinya yang strategik.

"Ia hanya satu kebetulan yang penggambaran filem Kabali dibuat di Pulau Carey, bagaimanapun yang pastinya kumpulan India itu berminat disebabkan lokasinya yang strategik," katanya pada mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri di sini, hari ini.

Najib memberitahu hadirin yang beliau berpeluang bertemu pelakon terkenal Kabali, Rajinikanth di Chennai ketika lawatannya ke sana pada Jumaat dan swafoto dengannya telah menjadi tular di Malaysia dan India.

MMC Port Holdings Sdn Bhd dari Malaysia dan Adani Ports & Special Economic Zone Limited dari India dijangka membangunkan Projek Pelabuhan Pulau Carey bernilai US$9.39 bilion.

Pembangunan bandar raya maritim bersepadu seiring cadangan Pelaburan Pulau Carey akan menyaksikan usaha sama antara MMC Port Holdings dan Sime Darby Property Bhd dengan Adani.

Bandar raya bersepadu itu bernilai US$22.78 bilion bagi tempoh 30 tahun.

Najib juga memberitahu pemimpin industri terbabit bahawa banyak pembangunan menarik sedang dijalankan di Malaysia, dengan menyebut pelaburan US$7 bilion oleh Aramco dari Arab Saudi dan Zon Perdagangan Bebas Digital, yang pertama di dunia yang dilancarkan oleh beliau dan Jack Ma, iaitu Pengasas Alibaba bulan lepas.

Mengenai perdagangan antara kedua-dua negara, Najib berkata, mereka berharap untuk mencatat sasaran US$15 bilion dalam tempoh tiga tahun, selepas sasaran awal pada 2015 tidak dapat dicapai berikutan kelembapan ekonomi.

Najib juga berkata, pelbagai program transformasi ekonomi yang dilaksanakan Malaysia sedang membuahkan hasil dengan pewujudan 1.8 juta pekerjaan, pengurangan kemiskinan dan menggandakan pendapatan negara kasar.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi Malaysia mampu mengurangkan kesan kelembapan ekonomi global berikutan transformasi terbabit, dengan menambah, pergantungan ke atas minyak dan gas telah merosot kepada 14 peratus berbanding 41 peratus pada 2010.

"Dengan ekonomi kami yang sangat pelbagai, asas pembuatan yang kukuh, infrastruktur yang maju, dasar kerajaan yang proaktif serta sistem perundangan yang baik, kami percaya terdapat potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama antara India dan Malaysia, dan negara kami boleh menjadi pintu masuk anda ke ASEAN serta negara lain," katanya.

Najib menggesa perniagaan India mengambil manfaat daripada pelbagai peluang yang ditawarkan Malaysia, dengan menambah, Malaysia mempunyai peratusan tertinggi diaspora India di luar India.

"Pasaran itu terbuka untuk perniagaan dan idea anda. Dengan usaha kedua-dua negara, perdagangan dan kejasama ekonomi Malaysia-India boleh dipertingkat ke tahap lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA
Syarikat Malaysia, India Akan Bangunkan Projek Pelabuhan Dan Bandar Raya Maritim Di Pulau Carey Syarikat Malaysia, India Akan Bangunkan Projek Pelabuhan Dan Bandar Raya Maritim Di Pulau Carey Reviewed by Azmin on April 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.