KUALA LUMPUR: Mangsa keganasan rumah tangga kini boleh mendapat Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) pada hujung minggu atau di luar waktu pejabat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ia adalah antara lima pembaharuan yang akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata ketika ini mangsa hanya boleh mendapatkan perintah perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO) daripada mahkamah.
Sedangkan, katanya, pihaknya menerima aduan banyak keganasan rumah tangga berlaku pada hujung minggu dan menyebabkan mangsa tidak boleh mendapatkan IPO atau PO pada kadar segera dan terpaksa menunggu mahkamah beroperasi.
"Maka menerusi pindaan pada rang undang-undang ini, mangsa akan boleh mendapatkan EPO daripada JKM sama ada datang terus ke pejabat jabatan atau boleh menghubungi kami menerusi talian Nur yang beroperasi 24 jam.
"Selepas aduan diterima, JKM akan memproses aduan itu dalam masa 24 jam sebelum menyerahkan EPO kepada mangsa yang akan disampaikan oleh pihak polis.
"EPO ini akan berkuatkuasa untuk tempoh seminggu dan jika ia dilanggar oleh pelaku, mereka boleh dihukum denda RM4,000, penjara selama setahun atau kedua-duanya," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini sebentar tadi.
Rohani berkata, selain daripada EPO, RUU itu juga akan memperluaskan tafsiran keganasan rumah tangga iaitu mangsa kini boleh mendapatkan IPO dan PO apabila pelaku menggelapkan harta mangsa sehingga mangsa mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan.
"Selain itu, apabila pelaku mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya/keselamatan hartanya/keselamatan pihak ketiga/mengalami kesedihan.
"Pelaku berhubung dengan mangsa atau berhubung dengan pihak ketiga tentang mangsa dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mangsa itu melalui apa-apa cara, elektronik atau sebaliknya," katanya.
Rohani berkata, buat kali pertama juga, RUU itu akan memperkenalkan pemberian hak penghunian eksklusif kediaman bersama kepada mangsa bagi memberi perlindungan terhadap keselamatan diri mangsa semasa dalam IPO dan PO.
"Menerusi hak ini, pelaku dikehendaki meninggalkan kediaman yang didiami bersama mangsa selama seminggu untuk memastikan keselamatan mangsa," katanya. Rohani dijangka membentang RUU berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat minggu ini.- BH
Perlindungan Segera Untuk Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Reviewed by uMieySurianie
on
April 03, 2017
Rating:
No comments: