KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah lagi bot nelayan dari Vietnam yang menceroboh untuk menangkap ikan di perairan Sarawak, menjadikan jumlah terkumpul kes pencerobohan nelayan dari negara berkenaan di Sarawak sejak awal tahun sehingga kini berjumlah 22 kes.
Pengarah Daerah Maritim APMM Kuching, Kapten (M) Shahref Steve Mac Queen Abdullah semua 22 kes pencerobohan di perairan Sarawak yang dikesan tahun ini membabitkan hanya bot-bot nelayan dari Vietnam, jumlah yang dilihat melonjak dengan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya dalam kes terbaharu Rabu lepas pihaknya menahan seorang tekong dan tujuh awak-awak berumur antara 18 dan 49 tahun dari Vietnam selepas memeriksa sebuah bot di kedudukan kira-kira 48 batu nautika barat Tanjung Sirik pada kira-kira pukul 4.20 petang.
"Mereka didapati sedang menangkap ikan menggunakan rawai (alat menangkap ikan). Kira-kira 1,000kg ikan pelbagai jenis terdapat di dalam bot berkenaan. Semua yang ditahan di siasat di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas di sini hari ini.
Untuk rekod, dalam persidangan media bulan lepas, APMM Sarawak memaklumkan bahawa terdapat hanya 14 kes pencerobohan kapal nelayan dari Vietnam dicatatkan di perairan Sarawak sepanjang tahun lepas, dan jumlahnya nampak melonjak dengan ketara tahun ini.
Sementara itu merujuk kepada permohonan APMM untuk mendapatkan dua unit 'landing crafts' (kapal pengangkut) bagi menambah keberkesanan operasi mengawal perairan negara, Shahref berkata ia masih diperingkat perbincangan, dan pihaknya berharap aset itu akan dapat diperoleh dalam tahun ini.-BERNAMA
22 Kes Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Sarawak Dan Ditahan Setakat Ini
Reviewed by Unknown
on
July 24, 2017
Rating:
No comments: