Seo Services

Aliran Masuk FDI Ke Sektor Berintensifkan Modal Malaysia Wujudkan Banyak Pekerjaan


KUALA LUMPUR: Senarai projek mega dalam negara yang kini sedang dilaksanakan atau bakal dimulakan tidak lama lagi, telah menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), yang akan mewujudkan pekerjaan nilai tinggi dan sedia untuk golongan belia , khususnya dalam sektor berintensifkan modal.

Sebagai contoh, projek infrastruktur mega Malaysia dijangka dapat memacu ekonomi negara lebih daripada 50 peratus kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang, yang akan mendorong kewujudan pekerjaan dalam industri bernilai tinggi dan industri berintensifkan pengetahuan.

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata bagi suku pertama 2017, FDI Malaysia melonjak kepada RM17 bilion dan merupakan nilai terbesar sejak Disember 2012.

Secara perbandingan, Malaysia mencatatkan FDI sebanyak RM13 bilion pada suku keempat 2016.

"Secara teorinya, FDI mempunyai kesan langsung dan tidak langsung terhadap mewujudkan pekerjaan. FDI ke dalam satu sektor membantu menjana pekerjaan dan juga di sektor sampingan. Kesan limpahan akan membantu meningkatkan pekerjaan dan penggunaan," katanya kepada Bernama.

Pelaburan utama oleh syarikat-syarikat asing di Malaysia termasuk Huawei dari China yang melabur RM2.2 bilion untuk ibu pejabat operasi global, hos data dan pusat latihan globalnya, di samping mengambil lebih 2,370 pekerja.

Saudi Aramco pula melabur US$7 bilion bagi 50 peratus kepentingan dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas di Johor, manakala ibu pejabat serantau HSBC yang berpangkalan di London akan terletak di Tun Razak Exchange di sini dengan kos pembinaan melebihi RM1 bilion.

Di bawah Pelan Transformasi Negara (NTP), kerajaan telah memulakan langkah berani dan membuat keputusan yang sukar untuk memastikan Malaysia terus berada di landasan yang betul untuk menjadi ekonomi maju berpendapatan tinggi.

Pada masa yang sama, NTP telah menyumbang ke arah menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk pelabur asing, yang menghasilkan penciptaan pekerjaan untuk rakyat.

Di bawah NTP, kadar pertumbuhan purata keluaran dalam negara kasar (KDNK) sejak pelaksanaannya kekal melebihi lima peratus, dengan inflasi dan pengangguran terus stabil dan rendah, pendapatan negara kasar per kapita telah meningkat lebih 50 peratus setelah pelaburan swasta meningkat.

Peraturan perniagaan juga ditingkatkan, dengan Malaysia muncul sebagai sebuah negara dengan kumpulan pekerja berpendidikan yang lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2017, menyatakan bahawa antara 2009 dan 2016, Pendapatan Negara Kasar (PNK) meningkat hampir 50 peratus, dan PNK per kapita menggunakan kaedah Atlas, naik kepada US$9,850.

Berdasarkan paras pendapatan tinggi terkini Bank Dunia sebanyak US$12,235, Malaysia telah merapatkan jurang ke arah sasaran pendapatan tinggi daripada 33 peratus kepada 19 peratus dan pada masa yang sama, 2.26 juta pekerjaan juga telah diwujudkan.

Angka berkenaan mewakili 69 peratus daripada sasaran 3.3 juta yang kerajaan hasratkan dicapai pada tahun 2020. - BERNAMA
Aliran Masuk FDI Ke Sektor Berintensifkan Modal Malaysia Wujudkan Banyak Pekerjaan Aliran Masuk FDI Ke Sektor Berintensifkan Modal Malaysia Wujudkan Banyak Pekerjaan Reviewed by Azmin on July 26, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.