KUALA LUMPUR: Kuartet 4x100 meter lelaki negara mempamerkan prestasi konsisten menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam malam tadi.
Dalam kejohanan itu kuartet negara yang dibarisi oleh Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan mencatat 39.62 saat untuk membawa pulang pingat emas dan melebur rekod lama, 39.67s.
Rekod lama 39.67s sebelum ini dilakukan dalam Sukan SEA 2015 di Singapura menerusi Jonathan, Mohd. Izzuddin Yahya, Harith Ammar Mohd. Sobri dan Nixson Kennedy.
Pingat perak kejohanan semalam menjadi milik kelab Vietnam, Bo Cong An dengan catatan 40.57s, manakala gangsa diraih satu lagi kelab tuan rumah, Quan doi (41.19s).
Catatan yang ditunjukkan kuartet negara di Vietnam juga adalah satu peningkatan positif kerana dalam Kejohanan Asia di India bulan lalu mereka mencatat masa 39.98s.
Ketika ini catatan dilakukan kuartet negara itu 39.62s membolehkan Malaysia berada di ranking ketiga terbaik rantau Asia Tenggara dalam acara 4x100m bagi musim ini.
Ranking pertama milik kuartet Indonesia dengan catatan 39.13s dilakukan pada April lalu, manakala tempat kedua adalah Thailand yang mencatat 39.38s pada awal bulan ini.
Dalam Sukan SEA 2015, pemenang pingat emas acara 4x100m lelaki iaitu Thailand mencatat masa 38.99s manakala pingat perak milik Singapura 39.24s dan Indonesia sekadar meraih gangsa, 39.32s.-Utusan Online
Anak Sarawak Bantu Kuartet 4X100 Meter Pecah Rekod Kebangsaan
Reviewed by Unknown
on
July 28, 2017
Rating:
No comments: