Seo Services

Kantin Asrama Sekolah Beracun


JASIN: Seorang bapa mendakwa kesal apabila anaknya yang belajar di sebuah sekolah menengah di Serkam di sini, tidak mendapat perhatian sewajarnya setelah mengalami sakit perut dan cirit-birit pada Selasa lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Kassim, 56, mendapat tahu mengenai perkara itu setelah dimaklumkan anaknya sendiri pada malam tersebut.

Menurutnya, dia kecewa kerana pihak sekolah tidak memberitahunya, sedangkan perkara itu serius.

“Lebih kurang jam 8 malam, Selasa lalu anak saya beritahu dia dan rakannya dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut dan cirit-birit.

“Bagaimanapun, tiada sebarang makluman daripada pihak sekolah dan ini seperti mengabaikan saya sebagai bapa.

“Sedangkan mereka sepatutnya beritahu saya atau ibu bapa lain terlebih dahulu, jika terjadi perkara lebih buruk bagaimana?,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Haji Kassim berkata, sekitar jam 12 malam barulah dia mengambil anaknya dari asrama sekolah tersebut dan membawanya pulang kerana bimbangkan tahap kesihatannya.

“Apa yang diberitahu anak, seramai tujuh rakannya turut dibawa menjalankan rawatan bersamanya di poliklinik terbabit.

“Mereka kemudiannya diberikan sijil cuti sakit dan dibenarkan pulang ke rumah sehingga Ahad ini,” katanya.

Terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang tidak memaklumkan perkara itu, Kassim berharap tindakan sewajarnya dapat diambil supaya pihak berkenaan menjadikannya sebagai pengajaran.

“Sebagai bapa, saya tak mahu perkara seperti ini menjejaskan kesihatan, sekali gus pembelajaran anak.

“Jika mereka tak tenang dan selesa menetap di asrama, saya terpaksa berulang-alik menghantarnya dan saya sendiri bukannya dari keluarga yang berada.

“Bagi saya, apabila anak sudah menetap di asrama, sedikit sebanyak bebanan ditanggung dapat dikurangkan. Jadi saya harap pihak berkenaan dapat pantau atau melakukan sesuatu bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Kassim menganggap kejadian cirit-birit dan sakit perut itu berpunca daripada makanan disediakan pihak kantin yang kurang bersih.

“Anak beritahu saya dia mula sakit perut selepas makan nasi ayam pada malam sebelumnya. Mungkin tahap kebersihan makanan yang tak baik punca utama masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Exco Kesihatan, Datuk Ng Choon Koon mengesahkan kejadian itu.

Jelas beliau, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengarahkan kantin sekolah berkenaan ditutup selama dua minggu untuk siasatan lanjut.

“Buat masa ini seramai 78 pelajar daripada 283 pelajar terlibat telah mendapatkan rawatan dan keadaan mereka semakin baik," katanya.-Sinar Harian

Kantin Asrama Sekolah Beracun Kantin Asrama Sekolah Beracun Reviewed by Unknown on July 28, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.