Seo Services

Bahasa Melayu Dimartabatkan Ke Peringkat Lebih Tinggi - Najib


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan meminggirkan Bahasa Melayu, malah kedudukannya akan terus dimartabatkan dan diangkat tinggi, hingga ke persada antarabangsa, demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berharap Bahasa Melayu menjadi bahasa utama di rantau ASEAN serta menjadi satu daripada bahasa pengantara utama di peringkat global menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kedudukan Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan apabila Malaysia dibaris sebagai satu daripada 20 buah negara paling berjaya di dunia nanti,"katanya pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam ini.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib turut melahirkan harapan supaya penguasaan Bahasa Melayu akan terus melambangkan jati diri bangsa dan konteks seharian menerusi petuturan dan penulisan yang betul di segi penggunaan dan tatacara, terutamanya di media sosial.

"Apabila kita menggunakan media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan SMS sering terjadi penggunaan tatabahasa yang tunggang-langgang atau ejaan tidak betul.

"Saya berharap kita tidak cenderung mengikut trend ini yang sebenarnya akan menghakiskan kedudukan Bahasa Melayu,"katanya.

Najib turut mengingatkan semua pihak mengenai cabaran di era teknologi komunikasi dan maklumat termasuk ambang gelombang Revolusi Industri Keempat dan Ekonomi Digital yang menjadikan dunia kini semakin menarik dan mencabar.

Katanya semua pihak wajar mengambil inisiatif di ruang siber yang terbuka itu untuk mengembang dan mempromosikan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang dinamik serta terus relevan, bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi digital.

Najib berkata penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di negara ini dilakukan secara terancang dan tersusun lagi inklusif, selain menyantuni serta meraikan bahasa-bahasa utama lain, termasuklah Bahasa Inggeris, tanpa perlu 'menghapus' serta 'meminggirkannya'. - BERNAMA
Bahasa Melayu Dimartabatkan Ke Peringkat Lebih Tinggi - Najib Bahasa Melayu Dimartabatkan Ke Peringkat Lebih Tinggi - Najib Reviewed by Azmin on July 27, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.