Seo Services

Haiwan Peliharaan Jangan Dibiarkan Berkeliaran



MIRI: Pemilik anjing atau kucing diminta jangan membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran walaupun bandar Miri masih bebas daripada jangkitan rabies kata Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata ia bagi memastikan haiwan peliharaan itu tidak mengganggu orang awam.

“Kita tidak mahu anjing atau kucing menyerang orang awam lebih-lebih jika haiwan ini mempunyai risiko dijangkiti rabies,” katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, pemilik haiwan ini harus bertanggungjawab dan meletakkan penanda nama atau tag pada haiwan masing-masing bagi tujuan keselamatan.

Jelasnya lagi, jika haiwan peliharaan terlepas, ia senang untuk mengenal pasti pemilik berbanding anjing liar berkeliaran di kawasan kediaman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berkata jika anjing atau kucing itu dikesan positif rabies, maka ia boleh diasingkan dan diberi vaksin.

“Semua pihak harus memainkan peranan mencegah penyakit rabies serta mengekalkan Miri sebagai bandar raya bebas daripada jangkitan rabies,” katanya.

Terdahulu Lee menerima kunjungan daripada pertubuhanan sukarelawan Zero Stray Miri yang turut terlibat secara tidak langsung dalam pencegahan rabies.

Mengulas lanjut, Zero Strays Miri telah mengamalkan konsep Tangkap, Kasi dan Lepas (TNR) bagi anjing dan kucing liar sejak Julai lalu.

“Kita memuji inisiatif Zero Strays Miri dalam usaha menangani masalah anjing dan kucing liar di Miri melalui TNR dan lebih 1,000 ekor haiwan ini telah melalui proses ini,” katanya.– Sarawakiana
Haiwan Peliharaan Jangan Dibiarkan Berkeliaran Haiwan Peliharaan Jangan Dibiarkan Berkeliaran Reviewed by uMieySurianie on July 27, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.