Jatuh cinta dengan Malaysia, lukisan batik dan tarian Melayu sejak usia 12 tahun mendorong pelajar Australia, Emilia Lisa Sterjova, 20, untuk belajar dan menguasai bahasa Melayu.
Pelajar jurusan perhubungan antarabangsa La Trobe University, Melbourne yang merupakan salah seorang peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) itu turut menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang ‘dekat’ dengan Australia.
“Saya jatuh cinta dengan kebudayaan Melayu.
“Saya juga berlatih Bahasa Melayu dengan mendengar salah satu saluran radio di Australia yang menyiarkan satu jam siaran bahasa Melayu setiap minggu,” katanya kepada pemberita selepas majlis resepsi PABM Piala Perdana Menteri di Seri Perdana di sini semalam.
Sementara itu, peserta dari Jerman, Benedikt Aspacher, 25, pelajar tahun akhir kajian Asia Tenggara Frankfurt University berkata, baginya bahasa dan budaya Melayu kaya dengan pelbagai pengaruh dari seluruh dunia.
“Dalam bahasa dan budaya Melayu terdapat pengaruh Arab, Belanda dan sebagainya.
“Umpama seluruh dunia ada dalam satu bahasa,” katanya.
Jelas Aspacher, bahasa Melayu merupakan subjek wajib bagi pelajar kajian Asia Tenggara di universitinya.
Seramai 52 peserta dari seluruh dunia termasuk Australia, Jerman, Azerbaijan, China, Fiji, India, Mesir, Nigeria, Palestin, Perancis dan Korea Selatan menyertai edisi ke-11 PABM kali ini. — Bernama
Lapan Tahun Kaji, Gadis Australia Cinta Budaya Melayu
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2017
Rating:
No comments: