KOTA KINABALU: Perintah berkurung fasa ke-69 di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir semalam, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-70, bermula hari ini.
Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dikuatkuasakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi, hingga 10 Ogos ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung.
"Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.
"Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.
"Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan ESSZONE," katanya menerusi kenyataan, di sini, sebentar tadi.
Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung juga memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak," katanya.- Berita Harian
Perintah Berkurung Di ESSZONE Masuk Fasa Ke-70
Reviewed by uMieySurianie
on
July 25, 2017
Rating:
No comments: