KUALA LUMPUR: Nilai ringgit semakin stabil dan meningkat sebanyak 4.6 peratus sehingga 21 Julai lalu berbanding dolar Amerika pada tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata peningkatan itu disebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan harga minyak mentah dunia Brent dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan kemasukan semula aliran dana portfolio pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran kewangan Malaysia.
Katanya, seperti mana-mana pergerakan kadar pertukaran mata wang, ia akan memberi keuntungan dan kerugian kepada sektor tertentu, nilai ringgit yang lebih kukuh akan mengurangkan kos perniagaan yang mempunyai kandungan import yang tinggi, mengurangkan harga barang import dan seterusnya menggalakkan perbelanjaan domestik.
"Peningkatan nilai mata wang ringgit sejak awal tahun ini disumbangkan oleh petunjuk-petunjuk ekonomi utama Malaysia yang semakin positif iaitu pertumbuhan eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.
"Kegiatan ekonomi semakin menggalakkan juga dapat membantu meningkatkan sentimen pelabur dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit.
"Selain itu langkah pembangunan pasaran yang diperkenalkan pada akhir 2016 dan April 2017 oleh jawatankuasa pasaran kewangan (FMC) dan Bank Negara Malaysia juga menyumbang kepada kestabilan nilai mata wang ringgit dan turut berperanan dalam mengimbangkan penawaran dan permintaan mata wang asing di pasaran mata wang tempatan.
"Kesan langkah pembangunan pasaran yang diperkenalkan pada akhir 2016 dapat dilihat di mana aktiviti kontrak hadapan tanpa serahan dalam pasaran luar pesisir telah berkurangan," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dalam persidangan Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Ringgit Semakin Stabil
Reviewed by Azmin
on
July 24, 2017
Rating:
No comments: