Seo Services

Tarif Insurans Baharu Adil Untuk Semua


KUALA LUMPUR: Dasar liberalisasi tarif insurans kenderaan baharu yang berkuat kuasa awal bulan ini, memberi kelebihan kepada pengguna yang mempunyai profil risiko yang rendah seperti tidak pernah terbabit dalam kemalangan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata mengikut sistem sebelum ini, setiap RM1 insurans premium yang dibayar pengguna, syarikat insurans secara keseluruhannya membayar hampir RM1.02 bagi tuntutan.

Katanya, jumlah itu menunjukkan nisbah tuntutan adalah melebihi 100 peratus dan akhirnya apabila syarikat insurans rugi berikutan nisbah tuntutan yang tinggi, mereka terpaksa meningkatkan premium.

"Oleh kerana (sebelum ini) kita mengamalkan premium mengikut tarif yang sudah ditetapkan, maka pengguna yang tidak pernah terbabit kemalangan selama lima tahun sepatutnya mendapat premium yang rendah tetapi itu tidak berlaku kerana mereka terpaksa menanggung bersama pengguna yang berisiko tinggi.

"Akibatnya, kadar premium yang perlu dibayar semakin meningkat setiap tahun kerana nisbah tuntutan sentiasa naik. Ini yang kita mahu elakkan. Bagi jangka panjang, ia akan memanfaatkan pengguna yang berprofil risiko rendah," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui kesan dasar liberalisasi tarif insurans kenderaan kepada pengguna di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, banyak manfaat akan diperoleh daripada liberalisasi itu antaranya penentuan kadar premium yang lebih adil dapat dilaksanakan berdasarkan perlindungan yang diperlukan pengguna.

Selain itu, katanya, dapat menyelaraskan subsidi bersilang yang ketara pada masa ini apabila sesetengah pemegang polisi membayar premium lebih mahal daripada sepatutnya untuk menyokong pemandu dan kenderaan berisiko tinggi.

"Ia juga menggalakkan pengurusan risiko lebih baik dalam kalangan pengeluar kenderaan dan pengguna termasuk memupuk kesedaran yang lebih mendalam mengenai keselamatan jalan raya.

"Hasil daripada perubahan tingkah laku ini dapat menyumbang kepada pengurangan kemalangan dan kecurian secara keseluruhan.

"Ia dapat menyediakan perkhidmatan lebih baik dan menawarkan produk kenderaan lebih inovatif kepada pengguna akibat persaingan syarikat insurans serta pengguna berpeluang membeli produk baharu yang tidak ditawarkan di bawah tarif insurans baharu ini," katanya. - BHOnline
Tarif Insurans Baharu Adil Untuk Semua Tarif Insurans Baharu Adil Untuk Semua Reviewed by Azmin on July 24, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.