KUCHING: Vaksin anti-rabies hanya boleh didapatkan daripada doktor veterinar berdaftar atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dengan harga RM55 di Kuching.
Menurut Presiden Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) Dr Chuo Hock Tieng, vaksin berkenaan hanya boleh didapati daripada doktor veterinar bertauliah dan jika ada individu yang menjual di kaunter klinik atau farmasi ia adalah menyalahi undang-undang.
“Sebelum ini banyak aduan daripada orang ramai bahawa mereka mendakwa mendapatkan vaksin dengan harga RM26, RM29, RM50 dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau menegaskan, jika ia vaksin di bawah harga RM55, maka ia sebenarnya vaksin enam dalam satu yang biasa diperolehi pemilik haiwan peliharaan dari farmasi atau penternak haiwan yang menyalahi undang-undang.
“Di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan Akta Haiwan 1953 hanya doktor haiwan sahaja boleh mengendalikan dan memberi vaksin untuk haiwan, maka anda tidak boleh membeli vaksin di kaunter, iaitu klinik atau farmasi mahupun membeli sendiri vaksin itu,” katanya katanya ketika ditemui di sini selepas temu ramah bersama stesen radio, TEA FM di sini, semalam.
Memetik laporan Utusan Borneo, Dr Chuo memberitahu bahawa orang ramai boleh mendapatkan vaksin tersebut hanya dari klinik veterinar selain khidmat vaksinasi beramai-ramai daripada kerajaan dari semasa ke semasa.
“Jika anda membeli vaksin dari kaunter klinik atau farmasi anda mungkin diberi maklumat salah mengenai vaksinasi dan ini akan memburukkan lagi keadaan jika anda memberi vaksin yang salah bagi tujuan salah,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati pemilik haiwan kesayangan agar meneliti atau mengenal pasti sama ada doktor veterinar masih berdaftar atau tidak di bawah Majlis Veterinar Malaysia (MVC).
Jelasnya, ia kerana masih ada antara doktor haiwan berkenaan aktif dalam bidang mereka tetapi tidak didaftar semula di bawah MVC.
“Ini kerana setiap doktor haiwan mempunyai sijil amalan tahunan (APC) yang perlu diperbaharui setiap tahun dan jika mereka tidak memperbaharuinya maka mereka tidak boleh mengamalkan bidang berkenaan.
“Kita amat mengalu-alukan kepada mereka yang mempunyai maklumat atau meragui tentang perkara ini untuk membuat aduan kepada MVC dengan disertakan bukti seperti kad ditandatangani mereka atau resit penjualan,” tegas beliau.
Orang ramai kata Dr Chuo boleh melayari laman sesawang www.mvc.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang doktor haiwan bertauliah serta berdaftar.- Sarawakiana
Vaksin Anti Rabbies Berharga RM55
Reviewed by uMieySurianie
on
July 26, 2017
Rating:
No comments: