KUALA LUMPUR - Lebih 1,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menjaga ketenteraman dan keselamatan sepanjang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung 19 hingga 30 Ogos ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ATM akan bekerjasama dengan pihak polis sebagai pasukan barisan hadapan bagi melakukan kawalan dan rondaan di 38 lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara berada pada tahap tertinggi sepanjang temasya itu.
“Antara lokasi tersebut adalah KLCC, Bukit Bintang, KL Sentral, Terminal Bersepadu Selatan, Stadium Shah Alam, Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Bangunan Putrajaya dan lain-lain lokasi yang dirasakan perlu untuk dipantau serta dikawal,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Kumpulan Siap Sedia ATM sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut. Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Dalam pada itu, sebanyak 459 pegawai dan anggota Trup Siap Sedia Antikeganasan akan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di beberapa kem ATM sekitar Kuala Lumpur iaitu Kem Perdana Sungai Besi, Kem Wardieburn dan Kem Batu Kentomen yang akan bergerak ke lokasi-lokasi tertentu mengikut keperluan.
Dalam pada itu, lapan jenis aset ATM akan diatur gerak sepanjang temasya itu termasuk kereta perisai KJA Gempita dari pasukan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pesawat EC 725 oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pesawat Fennec oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sementara itu, lebih 2,000 anggota ATM akan terlibat dalam upacara pembukaan dan penutupan rasmi KL2017 sebagai petugas dan peserta persembahan.
“Bagi petugas mereka akan bertindak selaku pembawa bendera, pelepas kontinjen, penyusun kontinjen, pembawa bendera kejohanan, penaik dan pemecah bendera serta penugasan-penugasan lain bagi membantu melancarkan pentadbiran kumpulan petugas dan peserta persembahan.
"Manakala bagi peserta persembahan, mereka akan terlibat dalam persembahan kawad senyap, persembahan pancaragam, persembahan drumliner dan lain-lain persembahan padang,” katanya.
KL2017 akan berlangsung 19 hingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Sept dengan menyaksikan penyertaan 11 negara Asia Tenggara. - Bernama
ATM, Polis Kerjasama Kawal Keselamatan Sepanjang KL2017
Reviewed by uMieySurianie
on
August 14, 2017
Rating:
No comments: