MANILA: Pihak berkuasa Filipina semalam berkata, Presiden Rodrigo Duterte tidak terlibat secara langsung dalam serbuan yang menyebabkan Datuk Bandar Ozamiz, Reynaldo Parojinog Sr dan 14 yang lain terbunuh.
Timbalan Setiausaha Eksekutif Kanan, Menardo Guevarra berkata, serangan itu adalah urusan polis.
“Mereka (polis) mempunyai tatacara tersendiri untuk menangani hal itu. Mereka ada prosedur dalaman untuk menguruskan hal seperti itu,” kata Geivarra kepada wartawan.
Duterte sebelum ini pernah menuduh Parojinog terbabit dalam kegiatan dadah dan dia terbunuh selepas polis menyerbu kediamannya setelah memperoleh waran untuk menggeledah rumah itu kelmarin.
Dalam sidang akhbar lain, Guevarra memberitahu wartawan, Duterte ada mengarahkan polis untuk memburu semua ahli politik yang terbabit dalam perniagaan dadah.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia tahu semua butir mengenai operasi polis.
Polis dengan enam waran geledah menyerbu rumah keluarga Parojinog di San Roque Lawis, Ozamiz kelmarin.
Pengawal keselamatan datuk bandar itu dilapor menghalang penggeledahan itu, menyebabkan kejadian tembak-menembak berlaku dan 15 orang, termasuk Parojinog dan isterinya terbunuh.
Anak perempuan Parojinog yang juga naib datuk bandar, Nova Princess Parajinog dan adiknya Reynaldo Jr ditangkap selepas polis menemui wang berjumlah 1.4 juta peso (RM119,000), setengah kilogram syabu dan beberapa senjata di rumahnya.
Sebelum dibawa ke Manila, Nova mendakwa polis memerangkap keluarganya dengan meletakkan dadah dan senjata api di kediaman keluarganya. Dakwaan itu di sangkal ketua polis Misamis Occidental, Superintendan kanan Jaysen De Guzman.-Agensi
Duterte Tak Terlibat Sebabkan Datuk Bandar Terbunuh
Reviewed by Unknown
on
August 01, 2017
Rating:
No comments: