PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Jabatan Imigresen melaksanakan tanggungjawab penting menentukan keselamatan dan kedaulatan negara terkawal dan terpelihara dengan baik sepanjang masa dari kemungkinan ancaman luar dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini.
Beliau berkata perkhidmatan imigresen juga memainkan peranan cukup kritikal dalam menyambut dan memudahkan kemasukan pelancong dan pengunjung asing tulen ke Malaysia dari pengunjung percutian kepada pelabur dan juga pelajar.
Najib menegaskan demikian ketika melancarkan dua inisiatif penting dilaksanakan Jabatan Imigresen iaitu eVISA dan Pusat Komunikasi eVISA (eVCOMM) untuk memudahcara kedatangan pelancong dan pengunjung tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Menghuraikan mengenai program eVISA, Najib berkata ia merupakan suatu kemudahan atas talian yang mesra pengguna bagi membolehkan pelancong dan pelajar antarabangsa serta ekspatriat mendapatkan visa ke Malaysia dalam tempoh 48 jam tanpa perlu ke One Stop Centre atau kedutaan dan konsulat seperti dahulunya.
"Program eVISA ini bukan sahaja mampu membawa negara ke tahap keselamatan yang lebih tinggi, bahkan telah membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih selamat untuk rakyat, pelancong dan komuniti perniagaan," katanya.
Beliau berkata kerajaan melaksanakan eVISA kepada warganegara dari China, India, Myanmar, Nepal dan Sri Lanka, diikuti dengan Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Serbia dan Montenegro pada Mac tahun lepas dimana mereka boleh memohon eVISA dari mana sahaja di seluruh dunia.
Memuji strategi Jabatan Imigresen menubuhkan Hab Serantau eVisa, Najib berkata melalui lapan Hab Serantau eVISA, ia boleh memainkan peranan penting dalam memudahcara permohonan dan kelulusan eVISA kepada pemohon.
"Inisiatif ini secara tidak langsung, akan membuka dan meneroka peluang-peluang baharu yang lebih luas pasarannya, dengan anggaran lebih 100 juta diaspora dari 10 buah negara yang telah diberikan kemudahan eVISA, bertebaran di merata dunia," katanya.
Pada majlis itu, Najib mengumumkan pembukaan dua lagi Hab Serantau eVISA iaitu di Brazilia, Brazil dan Moscow, Rusia menjelang akhir tahun ini.
Katanya, kedua-dua Hab Serantau eVISA itu masing-masing akan memudahcarakan permohonan dan kelulusan eVISA bagi 10 warganegara tersebut di rantau Amerika Selatan serta Eropah Timur dan Asia Tengah.
Najib berkata, semasa melawat China dan India, beliau telah menerima cadangan bagi memudahkan proses kemasukan para pelancong dari kedua-dua buah negara tersebut ke Malaysia.
Susulan itu, katanya, telah membawa kepada pengenalan Program Tanpa Visa, atau lebih dikenali sebagai eNTRI (Electronic Travel Registration and Information) dan eVISA (Multiple Entry).
Berdasarkan statistik dari Tourism Malaysia, beliau berkata antara Mac tahun lepas dan April tahun ini berlaku peningkatan sejumlah 284,606 dan 323,173 pelancong dari negara China yang telah memohon kemudahan eVISA dan eNTRI.
"Bagi tahun ini, kita mensasarkan seramai 3 (tiga) juta pelancong dari negara Tembok Besar berkunjung ke Malaysia.
"Pada masa yang sama juga, permohonan visa bagi warganegara India telah turut meningkat sebanyak 91.1 peratus, daripada 36,442 yang diluluskan pada Mac tahun lepas kepada 69,635 visa yang diluluskan pada April tahun ini," katanya.
Mengenai eVCOMM, Najib berkata ia membolehkan pegawai Imigresen memantau, mengawal dan menggunakan teknologi digital bagi memastikan kedatangan pengunjung dipantau dengan sebaik-baiknya.
Beliau percaya bahawa eVCOMM merupakan platform strategik yang boleh digunakan oleh pelbagai agensi relevan di Malaysia, dianggap sebagai hubungan penting dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.
"Ketika Malaysia sekian lama mengamalkan tradisi menjadi negara amat terbuka dan mengalu-alukan pelawat tulen, kita perlu imbangi keterbukaan ini dengan bentuk kewaspadaan dan kesediaan untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan kita dari ancaman dan anasir perosak," kata beliau.
"Saya berharap dengan pengenalan eVCOMM, fasiliti tercanggih, akan membawa kepada pembaharuan pesat dalam cara Jabatan Imigresen mengendali urusannya dan meningkatkan kemampuannya untuk memantau semua data bersangkutan visa dari seantero dunia," kata beliau.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Sementara itu, Mustafar memberi jaminan bahawa Jabatan Imigresen tidak akan mengabaikan aspek kedaulatan dan keselamatan negara dengan pelaksanaan inisiatif eVISA dan eVCOMM yang memudahcara kemasukan pelawat-pelawat asing ke Malaysia.
Beliau berkata program eVISA dengan bayaran US$25 yang mulanya hanya untuk pelancong telah diperluaskan dan merangkumi golongan ekspatriat dan pelajar antarabangsa, bermula pada 1 Ogos.
-- BERNAMA
eVisa, eVCOMM Permudah Kedatangan Pelancong Tanpa Jejas Keselamatan Negara - Najib
Reviewed by Azmin
on
August 16, 2017
Rating:
No comments: