NILAI: Azizulhasni Awang mengotakan janji untuk menghadiahkan aksi 'wheelie' kepada kira-kira 2,000 penonton di Velodrom Nasional Malaysia ketika melengkapkan sasaran 13 emas yang ditetapkan skuad berbasikal negara.
Dia yang turun dengan jersi pelangi selaku juara dunia, membuktikan kejaguhan apabila muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam acara final keirin.
The Pocket Rocketman dengan penuh keyakinan mengangkat tayar hadapan basikalnya, seperti kebiasaan yang dilakukannya di kejohanan antarabangsa, sebagai tanda penghargaan kepada penonton yang datang memberikan sokongan.
"Saya amat gembira kerana misi kami untuk mencapai 13 emas bagi sukan berbasikal sudah tercapai. Saya sendiri amat berpuas hati dapat mempamerkan persembahan di hadapan penonton sendiri.
"Apa yang penting, misi meraih emas tercapai dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun ada tergelincir semalam.
"Ini adalah pulangan pelaburan yang kami berikan apabila mencapai 13 emas yang menjadi sasaran," katanya.
Azizulhasni turut melahirkan penghargaan kepada penonton apabila ada antaranya yang menghadiahkan bunga dan lukisan gambarnya.
Semalam, menerusi acara pecut individu, The Pocket Rocketman meraih emas ke-111 negara yang juga sasaran kontinjen negara untuk memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan.
Kejayaan memenangi 13 daripada 20 emas dalam acara berbasikal membabitkan trek, lebuh raya dan BMX membolehkan Malaysia mengesahkan status sebagai sebagai jaguh Asia Tenggara dalam sukan ini.
Malaysia meraih lima emas hari ini, selepas mengumpul enam emas dalam tempoh dua hari lalu di Velodrom Nasional Malaysia, manakala dua emas lagi adalah sumbangan skuad lebuh raya negara. - BHOnline
KL2017: Jijoe Hadiah Aksi Wheelie
Reviewed by Azmin
on
August 30, 2017
Rating:
No comments: