Seo Services

Lari Pikul Bom


BHOPAL, INDIA: Seorang anggota polis menjadi wira apabila video menunjukkan dia berlari sambil memikul bom hidup bagi menyelamatkan kira-kira 400 pelajar tular di media sosial.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, ketua konstabel, Abhishek Patel bergegas ke sebuah sekolah di kampung Chitora di daerah Sagar selepas sebutir peluru meriam ditemui di belakang bangunan berkenaan.

Apabila tiba di sekolah itu, Patel mendapati sekumpulan wartawan berada di situ dan dia segera mengarahkan semua pelajar mengosongkan premis.

Patel kemudian mengangkat bom seberat 10 kilogram berkenaan dan terus berlari sejauh satu kilometer bagi membuang peluru meriam itu ke kawasan bukit.

Tindakan Patel mengejutkan semua orang termasuk wartawan dan hanya seorang yang sempat merakamkan aksinya.

Video selama 12 saat yang menunjukkan Patel berlari sambil memikul bom di bahu itu viral di media sosial dan ramai yang memuji keberaniannya.

“Objektif saya adalah membawa bom itu sejauh mungkin dari kanak-kanak dan dari kawasan penempatan penduduk,” kata Patel.

Menurutnya, polis pernah menemui peluru meriam serupa sebelum ini dan ia meletup dengan kuasa pemusnah sehingga 500 meter radius.

Polis memberitahu, sekolah itu terletak tidak jauh dari lapang sasar tentera dan pihak berkuasa masih menyiasat siapa yang meletakkan bom itu di belakang sekolah.

Sementara itu, keberanian Patel mendapat penghargaan Ketua Menteri Madhya Pradesh, Shivraj Singh Chouhan yang menjemput anggota polis itu ke kediaman rasminya kelmarin.

Bagi menghargai keberanian Patel, kerajaan negeri menghadiahkan wang tunai sebanyak 50,000 rupee (RM3,334) kepadanya.-Agensi
Lari Pikul Bom Lari Pikul Bom Reviewed by Unknown on August 30, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.