Seo Services

Manfaatkan Teknologi, Ubah Konsep Pertanian - Uggah


BAKONG: Dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan petani dan pekebun di luar bandar, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan sentiasa berusaha mencari cara selain menetapkan polisi khas bagi tujuan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM250 juta bagi membiayai pelbagai subsidi pertanian serta kemudahan asas lain termasuk membina jalan kebun bagi kawasan luar bandar.

"Peruntukan pertanian tersebut dibiayai bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat sebagai usaha memajukan industri pertanian di negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar," katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menjelaskan petani harus memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan subsidi yang diagihkan termasuk baja dan anak pokok.

"Sudah tiba masanya bagi Sarawak untuk mengubah cara pertanian daripada kaedah konvensional dan tradisional kepada cara moden dengan memanfaatkan teknologi digital," tambahnya

Katanya, beliau akan memanfaatkan hasil lawatannya ke China untuk mempelajari kaedah dan aplikasi yang dapat diguna pakai dalam sektor perladangan.

Tambah beliau, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memberi bantuan dari segi pemasaran hasil pertanian dan ternakan penduduk kampung dan rumah-rumah panjang melalui Pusat Pengumpulan yang menyerupai konsep 'wholesales'.

"Dengan demikian, petani dan penternak di luar bandar tidak perlu risau jika berlaku lambakan buah-buahan kerana kita akan membantu membeli hasil tersebut dan menjualnya kepada pihak pemborong di Pusat Pengumpulan yang akan diwujudkan nanti," tegasnya lagi. - Sarawakiana
Manfaatkan Teknologi, Ubah Konsep Pertanian - Uggah Manfaatkan Teknologi, Ubah Konsep Pertanian - Uggah Reviewed by Azmin on August 16, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.