KUCHING, 29 Ogos (Bernama) -- Satu program khas diadakan baru-baru ini bagi membantu pelajar dari kawasan Baleh meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan melalui kaedah pembelajaran dan teknik menjawab soalan secara berkesan.
Program Jalinan Mesra Peribumi ala kem selama tiga hari itu, yang dianjurkan Sarawak Energy dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit, menjadi pembuka tirai bagi program baharu yang akan dilaksanakan dari 2017 hingga 2020.
Ia adalah lanjutan kepada Program Pemantapan Pendidikan yang dilaksanakan pada 2015 dan 2016 di kawasan itu.
Program berkenaan disertai kira-kira 200 pelajar, guru dan ibu bapa daripada SMK Baleh dan empat sekolah rendah - SK Temenggong Koh, SK Sempili, SK Entuloh dan SK Lepong Gaat.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Sarawak Energy (CSR) Jiwari Abdullah, pengarah IPG Kampus Sarawak Jamiran Salam dan penasihat hubungan komuniti Sarawak Energy Stell Sindau turut menghadiri program itu.
Jiwari berkata program itu dirangka untuk memberi bimbingan dan meningkatkan kemahiran dari segi menjawab soalan peperiksaan untuk pelajar dari kawasan Baleh agar mereka lebih cemerlang dalam bidang akademik dan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program berkenaan termasuk bengkel motivasi untuk ibu bapa dan guru untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang perlunya memberi keutamaan terhadap pendidikan.
"Keyakinan bertambah setelah mengikuti program ini, yang dikendalikan jurulatih daripada IPG Kampus Sarawak," kata Jimmy Bundan, pelajar SMK Baleh.
Seorang bapa, Kennedy Jampong, yang menyertai bengkel itu berkata program berkenaan memberi pengetahuan kepadanya tentang cara mendorong anak-anak supaya memberi fokus dan membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan UPSR dan SPM.
Jamiran berkata program itu membantu ke arah memajukan pelajaran murid dari sekolah di kawasan pedalaman Sarawak. -- BERNAMA
Program Khas Bantu Pencapaian Pelajar Baleh
Reviewed by Admin
on
August 30, 2017
Rating:
No comments: