Foto REUTERS |
LONDON: Usain Bolt meluahkan dirinya sedih tetapi dalam masa yang sama teruja untuk mengucapkan selamat tinggal kepada olahraga dan menyifatkan prestasi mengecewakan pada kejohanan dunia di sini tidak akan mengubah pencapaian kariernya.
Bolt menutup tirai kecemerlangan kariernya dengan penuh dramatik apabila mengalami kekejangan hamstring di pertengahan larian acara 4x100m berganti-ganti.
Ini bermakna perlumbaan kompetitif terakhir Bolt berakhir tanpa sebarang pingat selepas sekadar meraih gangsa dalam acara 100m di belakang dua atlet Amerika, Justin Gatlin - yang sebelum ini pernah dua kali digantung kerana doping dan Christian Coleman.
"Beberapa hari ini memang sukar," kata Bolt, 30. "Saya sentiasa cuba pamerkan yang terbaik 100 peratus dan mahu buat larian yang bagus. Saya sedih untuk beredar pergi. Saya tidak fikir satu kejohanan akan mengubah apa yang saya lakukan dalam sukan ini."
Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Sebastian Coe sering menyamakan Bolt dengan legenda tinju Amerika, Muhammad Ali yang mana menggambarkan pemegang rekod dunia itu bukan saja cemerlang dalam arena sukan diceburi malah juga daripada aspek personaliti di luar trek.
"Saya masih ingat selepas tewas dalam 100m, seseorang berkata kepada saya: 'Usain, jangan bimbang, Muhammad Ali juga tewas dalam pertarungan terakhirnya, jadi jangan tertekan'.'
"Saya sudah membuktikan kemampuan diri saya selama ini dari tahun ke tahun," kata pelari Jamaica itu yang memegang rekod dunia dalam acara 100m dan 200m.
Bolt juga adalah pemenang pingat emas lapan kali di Sukan Olimpik dan pernah meraih 14 pingat di peringkat kejohanan dunia sejak mula beraksi di Helsinki pada tahun 2005 di mana dia menamatkan saingan di tangga kelapan dan tercorot dalam final 200m. - AFP
Selamat tinggal - Bolt
Reviewed by Unknown
on
August 14, 2017
Rating:
No comments: