Kerajaan negeri telah mengenal pasti tiga empangan untuk bekalan air di Sarawak iaitu Batang Ai, Bakun dan Murun, kata Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata kementeriannya sedang mengkaji mendapatkan bekalan air daripada empangan bagi memastikan semua rakyat di negeri ini menikmati bekalan air bersih.
"Kita akan bawa pakar untuk melakukan kajian memandangkan sumber air dari empangan ini bersih dan diwartakan,” katanya sambil menambah, kajian itu nanti akan memberi manfaat kepada rakyat khususnya di pedalaman," ujarnya.
Tambah Rundi, kajian itu turut meneliti keupayaan empangan sebagai sumber utama bekalan air mentah memandangkan sumber air dari sungai tidak lagi mapan.
"Beberapa sungai yang sebelum ini menjadi sumber bekalan air mentah telah tercemar kerana aktiviti perladangan di sekitarnya,"
"Justeru, kerajaan negeri perlu mencari sumber baharu yang dapat membekalkan sumber air sekurang-kurangnya dalam tempoh 20 tahun,” kata Rundi.
Menurutnya lagi, kerajaan mengambil serius mengenai permasalahan bekalan air di Sarawak memandangkan beberapa kawasan di negeri ini masih mengalami tekanan air rendah manakala beberapa kawasan lain tiada bekalan air.
"Kementerian saya memandang serius perkara itu dan akan membuat kajian bagi mendapatkan perancangan yang lebih efektif menangani masalah itu," ujarnya. - Sarawakiana
Tiga Empangan Dikenalpasti Untuk Bekalan Air Sarawak
Reviewed by Unknown
on
August 30, 2017
Rating:
No comments: