MESKIPUN buta sejak berusia enam bulan, lelaki ini tidak pernah berputus asa dengan hidupnya malah dengan kekurangan itu dia masih mampu berjaya menjadi mekanik handal.
Zhu Shuyou yang berusia 60 tahun, dikenali sebagai mekanik buta yang menjalankan perniagaan bengkel baiki motosikal sejak 30 tahun lalu di kampungnya di daerah Yibin, Wilayah Sinchuan, Barat Daya China.
Biarpun tidak boleh melihat, Shuyou dikurniakan kelebihan dapat mengetahui kerosakan sesebuah motosikal dengan hanya menyentuh dan mendengar bunyi enjin sahaja.
Kemahiran itu dipelajarinya sendiri tanpa mengikuti sebarang latihan dari mana-mana individu.
Menurut portal Shanghaiist, ‘pomen’ warga emas itu turut dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah apabila hanya mengenakan bayaran untuk alat ganti dan caj perkhidmatan pada kadar 10 peratus sahaja.
Sikap tidak berkira Shuyou membuatkan bengkelnya sering dipenuhi dengan pelanggan yang datang dari pelbagai tempat.
Menurut ibunya, Shuyou mengalami cacat penglihatan itu ketika berusia enam bulan akibat jangkitan kuman pada otak.
Disebabkan kecacatan itu, Shuyou tidak pernah menghadiri mana-mana sesi persekolahan untuk belajar membaca dan mengira.
Ibunya turut memberitahu bakat Shuyou sebagai mekanik dikesan sejak kecil lagi apabila dia diberikan basikal, dia meleraikan basikal tersebut kemudian mampu memasangnya semula.
Lama-kelamaan, kemahiran Shuyou semakin teserlah apabila mampu mengesan bahagian basikal yang rosak kemudian membaikinya.
Dengan hanya membaiki motosikal juga, Shuyou mampu membina rumah untuk ibunya yang berusia 84 tahun dan membayar wang pendahuluan untuk membeli apartmen anak lelakinya di bandar.
Dengan segala kelebihan dan anugerah yang dimiliki Shuyou, lelaki itu tetap sentiasa merendah diri, malah dia memberitahu wartawan apa yang diperolehnya pada hari ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.
“Saya tidak pernah merasakan saya lebih hebat daripada orang lain. Saya belajar secara sendiri dan memperoleh kehidupan yang baik seperti orang lain,” katanya.
Kisah penuh inspirasi ini seharusnya dijadikan pengajaran buat orang ramai agar tidak mudah mengeluh dengan kekurangan diri, sebaliknya carilah kekuatan yang ada dan gilapkan ia sehingga berjaya. – MYNEWSHUB.CC
Mekanik Buta Mahir Baiki Ratusan Motosikal
Reviewed by Unknown
on
October 23, 2017
Rating:
No comments: