Seo Services

Shafie Gagal Batal Reman



KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Shafie Apdal yang mencabar keputusan penahanan reman yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dirinya Jumaat lalu.

Hakim Ismail Brahim menolak permohonan tersebut selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abdul Hadi dan Rustam Anip bahawa reman yang dibuat sebelum ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah adalah terpakai di bawah Seksyen 3 Kanun Tatacara Jenayah.

Berikutan keputusan yang dibuat di kamar hakim pada pukul 12.45 petang itu, SPRM akan membawa Mohd. Shafie ke Mahkamah Majistret pada pukul 2.30 petang ini untuk memohon sambungan reman selepas perintah yang dikeluarkan Jumaat lalu berakhir hari ini.

Sementara itu, peguam mewakili Mohd. Shafie, Peter Anthony ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pihaknya memohon pembatalan reman ke atas Mohd. Shafie kerana beliau sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 49 Akta SPRM 2009.

“Akta tersebut membenarkan SPRM menangkap tetapi perlu dibebaskan dengan syarat-syarat jaminan SPRM. Jika syarat itu dilanggar barulah dia boleh ditangkap lagi untuk direman.

“Tetapi permohonan kami ditolak oleh mahkamah, justeru petang ini SPRM dijangka akan memohon sambungan tempoh reman,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Shafie Gagal Batal Reman Shafie Gagal Batal Reman Reviewed by uMieySurianie on October 23, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.