RANTAU PANJANG: Atas rasa tanggungjawab kepada pesakit, seorang jururawat dan beberapa anggota polis tekad meredah banjir demi memujuk wanita sarat hamil ke hospital.
Perkara itu diambil peduli oleh jururawat Klinik Kesihatan Gual Periok, Nik Nor Aisah Nik Zul Azhar selepas wanita berkenaan, Rohani Abd Rahman, 45, didapati tidak mendaftar di mana-mana klinik kesihatan atau pusat pemindahan di Kelantan.
Menurut laporan Sinar Harian, Nik Aisah berkata pihaknya terpaksa berkunjung ke rumah wanita berbadan dua itu di rumah bagi memujuknya untuk berpindah ke kawasan selamat.
Menurutnya lagi, usaha murni itu perlu dilakukan kerana kemungkinan Rohani bakal bersalin dalam jangka masa yang terdekat dan berdepan risiko jika tidak sempat ke hospital sewaktu bersalin.
"Kebanyakan pesakit di kawasan sini mula berpindah ke tempat selamat namun hanya segelintir tidak berganjak sehinggakan memaksa kakitangan keselamatan bertindak untuk mengambil mereka di rumah," kata Nik Aisah.
Tambahnya, ramai menganggap isu banjir yang menjangkau paras bahaya ini sebagai perkara remeh.
Dalam pada itu, Rohani pada mulanya enggan berpindah ke kawasan selamat kerana yakin bahawa dia tidak akan melahirkan anak dalam waktu terdekat ini.
Walau bagaimanapun, dia akhirnya akur untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara di Gual Sitok.-Astro Awani
Jururawat 'Manis' Sanggup Redah Banjir Demi Ibu Bersalin
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2017
Rating:
No comments: