Foto The Borneo Post |
Sama seperti teknologi masa kini yang pantas, persilatan juga harus pantas supaya ia dapat bergerak dalam pembangunan negara termasuk Sarawak kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.
“Kita boleh mengembangkan silat melalui era digital sama ada dari segi persembahan, langkah dan sebagainya bagi menarik lebih ramai orang berminat terhadap ilmu ini.
“Maka itu kepada anak-anak muda silat kita yang mempunyai pengetahuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh menggunakannya dalam menggembangkan persilatan,” katanya.
Memetik laporan Utusan Borneo, Abang Johari berkata, belajar ilmu silat bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri tetapi juga daripada aspek untuk kesihatan.
Tambahnya, jika ia diperkembangkan melalui era digital dijangka akan lebih ramai yang berminat dalam mempelajari ilmu persilatan.
“Kalau silat kita dikenali di luar dan dunia ia bermakna budaya kita dikenali serta dihormati di dunia, yang pastinya menggambarkan bahawa ilmu persilatan kita berjaya dipertingkatkan.
“Dalam persilatan ia bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi disiplin masing-masing yang saya percaya ilmu sedemikian pasti mendidik anak-anak muda kita yang terlibat dalam aktiviti ini,” tegasnya.
Abang Johari memberitahu, kerajaan negeri amat komited ke arah era digital melalui beberapa inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk sistem pembayaran e-wallet yang dikenali Sarawak Pay.
Malah, katanya lagi, inisiatif kerajaan negeri itu turut mengejutkan dan mengagumkan negara seperti Singapura, di mana Timbalan Perdana Menterinya menyatakan kekaguman beliau terhadap Sarawak Pay.
“Timbalan Perdana Menteri Singapura juga terkejut apabila kita sudah ada Sarawak Pay di mana semua pembayaran utiliti kita hanya menggunakan telefon bimbit sahaja,” ujarnya.
Sementara itu mengulas lanjut mengenai persilatan di Sarawak, katanya beliau dimaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman bersama yang lain bakal menganjurkan Pesta Silat Antarabangsa pada 2018.
Jelasnya, dengan adanya pesta tersebut ia pasti akan membawa dan menarik pesilat dari luar datang ke Sarawak sekali gus dapat mewujudkan rangkaian kerjasama antara sesama mereka.
Katanya sekiranya ia direalisasikan nanti, beliau berjanji akan menyumbang peruntukan demi meningkatkan lagi persilatan di negeri ini. – Sarawakiana
Kembangkan Silat Guna Digital
Reviewed by uMieySurianie
on
November 30, 2017
Rating:
No comments: