BETONG: Malang tidak berbau apabila seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Betong selepas terkena renjatan elektrik ketika mencuci lori di Kampung Bungin, kelmarin.
Difahamkan, mangsa Gander Denggang, 40, terkena renjatan elektrik itu akibat masalah pendawaian pada lori berkenaan yang turut mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar jam 1.50 tengah hari.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong Henry Jugah berkata, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan itu berhenti di kampung berkenaan untuk mencuci lori terbabit selepas selesai membawa muatan pasir ke tempat kerjanya.
Menurutnya, ketika mangsa mencuci bahagian hadapan kenderaan itu, masalah pendawaian berlaku menyebabkan arus elektrik mengalir pada permukaan lori yang dicuci.
“Mangsa bernasib baik sempat menyelamatkan diri, bagaimanapun bahagian hadapan kenderaan itu musnah terbakar.
“Kami menerima panggilan kecemasan jam 1.59 tengah hari berhubung kejadian dan mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Henry berkata, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Spaoh sebelum dirujuk ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat jam 2.50 petang, manakala anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-myMetro
Kena Renjatan Elektrik Ketika Cuci Kereta Di Kampung Bungin
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2017
Rating:
No comments: