Seo Services

17 Remaja Geng Basikal Lajak Ditahan


LANGKAWI: Gara-gara mengubah suai dan menunggang basikal secara berbahaya, 17 remaja lelaki ditahan polis dalam Ops Basikal Lajak selama tiga jam di Jalan Kuala Teriang dan Padang Matsirat di sini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Ahmad Shukri Ramli, berkata dalam operasi bermula pukul 5 petang semalam dan berakhir jam 8 malam tadi, pihaknya turut menyita basikal yang digunakan remaja terbabit sebagai usaha mencegah aktiviti samseng jalanan.

"Operasi dilakukan susulan penularan video berdurasi 10 saat dalam media sosial yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan remaja dipercayai menyertai lumba basikal lajak sekitar Langkawi beberapa hari lalu.

"Sepasukan anggota trafik yang melakukan operasi mengesan sekumpulan 17 remaja berusia antara 12 dan 16 tahun mempamerkan aksi berbahaya menggunakan basikal lajak di Jalan Kuala Teriang dan Padang Matsirat, sebelum pihak kami bertindak menahan mereka," katanya ketika dihubungi di sini.

Ahmad Shukri berkata, pemeriksaan mendapati semua basikal yang digunakan kumpulan remaja terbabit diubah suai dan tidak mempunyai sistem brek, sekali gus mengundang bahaya.

"Sejurus ditahan, kumpulan 17 remaja penunggang basikal lajak itu dibawa ke Bahagian Trafik Langkawi untuk siasatan lanjut sebelum memanggil waris mereka untuk diambil keterangan bagi kes sama.

"Basikal digunakan mereka disita untuk siasatan mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut mengeluarkan saman di bawah Peraturan 42 (1) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana mengubah suai basikal," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, semua remaja terbabit dibebaskan selepas bayaran saman dijelaskan oleh waris masing-masing.

"Kumpulan remaja terbabit menerima amaran lisan daripada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (PPDL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut tiba di pejabat Bahagian Trafik Langkawi malam tadi selepas dihubungi polis.

"Polis, PPDL dan JPJ akan terus membuat pemantauan kerana aksi berbahaya mereka bukan sahaja menyalahi undang undang, malah boleh mengundang kemalangan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya. - Sarawakiana
17 Remaja Geng Basikal Lajak Ditahan 17 Remaja Geng Basikal Lajak Ditahan Reviewed by Azmin on January 15, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.