KUCHING - Dua kerusi jawatan Timbalan Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan dipertandingkan pada Persidangan Perwakilan Tri Tahunan parti itu Februari depan.
Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Ketua Wanita Tan Sri Empiang Jabu dan Ketua Pemuda Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah memaklumkan tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing pada konvensyen tiga hari bermula 9 hingga 11 Februari itu.
"Dalam mesyuarat hari ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB telah mencapai konsensus bahawa tidak ada pertandingan untuk dua jawatan Timbalan Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat lebih dua jam MKT di Ibu Pejabat PBB Jalan Bako di sini hari ini.
Turut hadir dua pemangku Timbalan Presiden Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Empiang dan Fadillah.
Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata berikutan jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda yang akan dikosongkan serta tidak dipertandingkan itu, MKT juga telah mencapai persetujuan secara konsensus mengenai dua jawatan berkenaan dalam mesyuarat itu.
"Ketika ini jawatan Ketua Wanita adalah daripada sayap Pesaka manakala Ketua Pemuda daripada sayap Bumiputera, berikutan kedua-dua penyandang tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing, MKT juga telah mencapai konsensus calon Ketua Wanita akan dipilih daripada sayap Bumiputera manakala calon Ketua Pemuda daripada sayap Pesaka," katanya.
Sebagai rekod PBB dibentuk hasil gabungan antara Parti Bumiputera dan Parti Pesaka pada Januari 1973.-BERNAMA
Fadillah, Empiang Tidak Pertahan Jawatan Ketua Pemuda Dan Ketua Wanita
Reviewed by Unknown
on
January 13, 2018
Rating:
No comments: