Seo Services

JPN Kedah digesa larang guru sakit mental hadir di sekolah

SUNGAI PETANI: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah perlu mengambil tindakan segera berhubung isu seorang guru di sebuah sekolah di Kulim, yang didakwa mengalami masalah mental namun masih dibenarkan mengajar, demi menjaga nama baik profesion perguruan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau tidak menafikan terdapat warga pendidik yang dikaitkan dengan masalah mental namun jumlahnya terlalu kecil.

“Perlakuan individu yang mengalami masalah mental ini sukar diduga namun tindakan segera perlu diambil bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini, terutamanya jika melibatkan pelajar sekolah itu sendiri.

“Dalam kes yang menjadi tular di media sosial ini, jika benar guru terbabit disahkan oleh pakar perubatan mengalami masalah mental, JPN perlu mengambil tindakan segera, tidak boleh dibenarkan mengajar sehingga dia pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya, hari ini.

Tajul Urus berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang guru wanita sebuah sekolah di Kulim, yang tular di media sosial kerana masih dibenarkan mengajar walaupun mengalami masalah mental.

Video berdurasi kira-kira 2 minit itu memaparkan seorang guru yang berada dalam keadaan marah dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil menghempuk meja dalam satu pertemuan guru sekolah berkenaan di bilik mesyuarat.

Dalam pada itu, Tajul Urus yang juga Adun Tanjung Dawai turut meminta rakaman video kejadian itu tidak ditular lagi oleh pengamal media sosial demi menjaga nama baik guru terbabit dan keluarganya.

“Kita bersimpati dengan apa yang berlaku kepada guru terbabit dan juga keluarga dan dalam masa sama kita juga perlu menjaga nama baik profesion perguruan.

“Saya mohon agar berhentilah tular video atau sebarang cerita negatif mengenai guru terbabit, dan biar perkara ini diuruskan oleh JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, seramai 1,341 waris pelajar SMK Amanjaya menerima sumbangan Bantuan Awal Persekolahan, masing-masing sebanyak RM100.

“Jumlah ini walaupun dilihat sedikit oleh orang berkemampuan namun memberi makna yang cukup besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka,” katanya. - Bernama
JPN Kedah digesa larang guru sakit mental hadir di sekolah JPN Kedah digesa larang guru sakit mental hadir di sekolah Reviewed by Admin on January 25, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.