Seo Services

Jurang Gaji Masih Besar


KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh enam tahun lagi atau menjelang 2024, menurut Bank Dunia dalam Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) - Kegawatan kepada Transformasi : 20 tahun selepas krisis kewangan Asia yang dikeluarkan Disember lalu.

Laporan itu mengklasifikan ekonomi berpendapatan tinggi ialah yang mempunyai Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita pada AS$12,236 (RM49,904) atau lebih tetapi buat masa ini, GNI per kapita di Malaysia dianggarkan pada AS$9,660 (RM39,398) atau AS$2,576 (RM10,506) lebih rendah daripada paras ditetapkan Bank Dunia.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pendapatan isi rumah di Malaysia ketika ini menunjukkan jurang yang besar antara kaya dan miskin de­ngan 89 peratus daripada populasi pekerja masih memperoleh gaji kurang daripada RM5,000 sebulan manakala lebih separuh pula memperoleh gaji kurang daripada AS$12,236 setahun yang menjadi penanda aras negara berpendapatan tinggi.

Dalam konteks ini, katanya, Bank Dunia harus memperkenalkan pengukuran negara berpendapatan tinggi yang lebih holistik dan komprehensif dan tidak semata-mata berdasarkan pendapatan per kapita.

“Sebagai contoh, Bank Dunia boleh merujuk kepada Gini Coefficient yang mengukur jurang pendapatan dan aset penduduk serta melihat kepada pendapatan boleh lupus isi rumah. Selain itu, beberapa isu perlu diambil kira tanpa bergantung semata-mata kepada ukuran GNI per kapita untuk membuktikan bahawa Malaysia adalah negara berpendapatan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, tumpuan harus diberi kepada golongan B40 di bandar kerana purata perbelanjaan isi rumah di bandar sebanyak RM3,200 adalah melebihi purata pendapatan isi rumah B40 (median RM3,000), apatah lagi majoriti perbelanjaan adalah untuk makanan dan kenaikan harga sejak kebelakangan ini memberi tekanan kepada golo­ngan berke­naan.

Walaupun laporan itu menjangkakan Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi lebih awal tetapi perlu mengambil kira beberapa langkah dalam memelihara kebajikan rakyat kerana masih terdapat kebimbangan mengenai pengagihan ekonomi dan peluang yang tidak sama rata.

Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata, dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi, semua peringkat masyarakat harus menerima realiti bahawa kos sara hidup juga akan semakin tinggi seperti dilalui negara maju lain antaranya Singapura, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Hong Kong.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu melaksanakan pendekatan yang strategik supaya pencapaian ekonomi dapat dikongsi oleh rakyat bagi mengelakkan golongan kaya terus membolot kekayaan baharu sekali gus menjadikan jurang ketidakseimba­ngan semakin tinggi.

“Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) misalnya adalah bagus kerana pemberian secara bersasar tetapi jumlah pene­rimanya harus berkurangan bukan meningkat saban tahun supaya bantuan ini dapat memberi kesan kepada rakyat.

“Satu lagi isu yang perlu kita lihat, persoalan mengapa pertumbuhan ekonomi bagus tetapi rakyat tidak merasainya. Ini kera­na perkongsian kekayaan negara mengambil masa untuk dinikmati.

“Sebagai contoh, pelaburan yang masuk ke negara ini akan menyaksikan pembukaan kilang-kilang baharu dengan peluang pekerjaan selepas itu tetapi pendapatan tinggi hanya boleh di­nikmati antara lima hingga enam tahun,” katanya.

Dalam usaha ke negara berpendapatan tinggi, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendapati purata pendapatan isi rumah bumiputera hanya 72 peratus berbanding Cina dan 88 peratus berbanding India berdasarkan Laporan Perbelanjaan dan Pendapatan Isi Rumah 2016 dengan majoriti dalam kategori B40.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, bumiputera hanya menguasai 26 peratus daripada nilai aset perumahan manakala bukan bumiputera menguasai 63 peratus dan pasaran modal syarikat bumiputera pula hanyalah 15 peratus daripada keseluruhan pasaran modal syarikat di Malaysia.

Katanya, dari segi penglibatan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penglibatan bumiputera hanyalah 37 peratus daripada 548,267 PKS di Malaysia dan daripada jumlah itu, 88.3 peratus PKS Melayu adalah daripada mikro, 10.5 peratus bersaiz kecil dan hanya 1.2 peratus bersaiz sederhana.

“Agenda bumiputera bukan satu agenda yang menganaktirikan kaum lain, sebaliknya ia adalah polisi untuk mengatasi masalah jurang ekonomi yang berasaskan perkauman hasil lebih daripada 100 tahun penjajahan. Ini kerana agenda ini telah berjaya mengurangkan ketidaksamaan kekayaan di Malaysia cuma ia masih belum mencapai hasil yang optimum,” katanya.- Utusan Online
Jurang Gaji Masih Besar Jurang Gaji Masih Besar Reviewed by uMieySurianie on January 15, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.