SARIKEI - Meluangkan masa hingga ke larut malam untuk mendekati dan mendalami permasalahan serta kebajikan rakyat, merupakan antara rutin harian dilalui Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak bagi kawasan parlimen Sarikei, Teng Ung Woo.
Berusia 44 tahun, anak jati Sarikei berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Universiti Otagodi New Zealand itu berkata beliau sudah biasa dengan rutin seumpama itu dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya sejak menceburi politik dan menganggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hampir 20 tahun lalu.
Setiap program turun padang yang dipergiatkan lagi sejak tiga tahun lalu, disusun atur dengan rapi bagi memastikan tidak ada kawasan dan rakyat tercicir serta terlepas pandang.
Beliau berkata biasanya jadual lawatan program tersebut disiapkan lebih awal dari bulan ke bulan supaya perjalanan lebih teratur dan mencapai matlamatnya.
"Kadangkala saya rasakan saya lebih banyak bercakap dan berjumpa dengan rakyat berbanding keluarga saya sendiri. Jiwa saya rapat dengan rakyat," katanya sambil mentakrifkan politik sebagai memperuntukkan masa dan usaha pergi ke akar umbi bertemu, mendengar serta memahami masalah rakyat dan seterusnya mencari penyelesaian.
Bercakap kepada BERNAMA, naib pengerusi SUPP Sarikei itu berkata di kawasan Parlimen 208 Sarikei terdapat kira-kira 300 rumah panjang Iban, sekitar 10 kampung Melayu manakala dua zon perkampungan Cina serta penempatan di pusat bandar Sarikei.
Jumlah keseluruhan pengundi mencecah 40,000 orang dan kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah pengundi Cina.
Berikutan lawatan yang kerap itu, itu Teng amat arif dengan keadaan seluruh pelosok kawasan tersebut malah mampu mengenali mereka.
Selain turun padang, pada setiap Selasa beliau akan berada di pejabat SUPP Sarikei manakala Rabu pula di pejabat SUPP Meradong, Bintangor untuk menemui rakyat.
Menurut bekas pegawai bank itu, rakyat menyambutnya dengan baik dan menyuarakan permasalahan yang dihadapi walaupun mereka menyedari beliau bukan seorang wakil rakyat.
Hubungan eratnya bersama rakyat membuatkan mereka berasa yakin beliau dapat membantu mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.
Teng berkata, laporan mengenai semua permasalahan rakyat yang diperolehi semasa program turun padang dikemukakan ke Pejabat Ketua Menteri, pihak berkuasa berkaitan serta pucuk pimpinan parti untuk tindakan lanjut.
"Kadang-kadang saya bawa terus permasalahan itu ke jabatan dan agensi kerajaan berkaitan setempat bagi mencari jalan penyelesaian segera supaya setiap permasalahan dan permohonan keperluan rakyat ditangani secepat mungkin,?katanya.
Namun demikian, beliau mengelak daripada menabur janji yang tidak masuk akal kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Apa yang penting baginya adalah kejujuran dan bekerja keras untuk rakyat.
"Ini penting supaya kita mempunyai platform lebih baik untuk membela nasib rakyat,"jelasnya yang pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Daerah Sarikei selama lima tahun.
Ditanya samada beliau bersedia menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) nanti Teng berkata itu terpulang kepada keputusan pucuk pimpinan parti dan sokongan rakyat pada peringkat akar umbi.
"Kalau rakyat peringkat akar umbi sebulat suara menyokong dan mahukan saya menjadi wakil mereka (peringkat parlimen), saya bersedia berkhidmat untuk mereka," jelasnya.
Beliau menasihati pengundi Sarikei agar memberi sokongan padu kepada calon BN pada PRU14 nanti bagi membolehkan nasib mereka dibela dengan sebaik mungkin.
Pada PRU lepas, calon SUPP-BN Datuk Ding Kuong Hiing yang memperolehi sebanyak 13,758 undi tewas kepada calon pembangkang (DAP) Wong Ling Biu yang memperolehi 14,263 undi.
Katanya, rakyat Sarikei sudah merasai pengalaman diwakili oleh wakil rakyat pembangkang di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kebanyakan mereka mengadu susah untuk melihat wakil rakyat parti pembangkang itu datang berkunjung menemui mereka. Tak usah cakap tentang (bantuan) batu, simen dan bantuan-bantuan lain, malah muka pun tidak jumpa. Ini respons dan maklum balas daripada rakyat di rumah-rumah panjang yang saya kunjungi," katanya.
Oleh itu, beliau mengingatkan pengundi supaya jangan mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang serta mengulangi kesilapan dibuat pada pilihan raya lepas.- BERNAMA
Teng Dekati Rakyat Di Parlimen Sarikei
Reviewed by Unknown
on
January 13, 2018
Rating:
No comments: