Seo Services

Bantuan terhapus jika GST dimansuhkan

PADANG TERAP 26 Mac - Negara berhadapan dua implikasi buruk akibat langkah Pakatan Harapan diketuai DAP untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penghapusan GST akan menyebabkan negara kelompongan hasil sebanyak RM20 bilion yang memungkinkan banyak bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia atau cukai pendapatan peribadi (pendapatan) dinaikkan antara empat hingga lima peratus.

“Mereka tak sebut bagaimana kekurangan RM20 bilion itu nak ditutup mereka. Ada dua implikasi, satu mungkin kena potong pemberian kerajaan misalnya, mungkin kena potong BR1M, sebab BR1M nilai kosnya RM6.8 bilion setahun.

“Kalau potong BR1M sahaja tak cukup, mungkin kena potong pemberian khas kepada petani, pekebun kecil dan nelayan. Itu pun tidak cukup, mungkin kena potong bayaran khas kepada penjawat awam sebanyak RM1,500.

“Itu pun mungkin tak cukup, mungkin kena potong lagi bayaran persekolahan sebanyak RM100, mungkin amalan pemakanan khas akan dipotong,” kata­nya ketika berucap dalam program Masyarakat Siam Kedah Bersama Perdana Menteri di Kampung Chanding, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Perdana Menteri membe­ritahu, jika tidak memotong bantuan tersebut, kemungkinan Pakatan Harapan diketuai DAP akan menaik­kan cukai peribadi (pendapatan) antara empat hingga lima pe­ratus berbanding yang diturun­kan kerajaan pada tahun ini iaitu sebanyak dua peratus.

Kata beliau, terdapat laporan daripada wakil Bank Dunia hari ini yang turut tidak yakin dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Ini World Bank bertanya satu persoalan besar, kalau GST dihapuskan akan berlaku kekura­ngan atau kelompongan sebanyak RM20 bilion dalam akaun kerajaan. Apa (ini) yang tidak disebut dalam ma­nifesto pembangkang, yang cuba mengaburi mata rak­yat,” ujarnya. - UTUSAN
Bantuan terhapus jika GST dimansuhkan Bantuan terhapus jika GST dimansuhkan Reviewed by Admin on March 27, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.