Seo Services

Penggodam cuba rompak Bank Negara Malaysia


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi mangsa dalam satu serangan siber, di mana pengodam cuba mencuri wang menerusi transaksi palsu, siri rompakan elektronik terbaru ke atas institusi kewangan di seluruh dunia.

BNM berkata, tiada dana hilang dalam serangan Selasa lalu yang membabitkan permintaan palsu pemindahan wang melalui rangkaian mesej bank SWIFT, sistem pembayaran elektronik terbesar dunia.

Ia adalah penggodaman ke-2 ke atas bank pusat sebuah negara yang diketahui, selepas rompakan siber sebanyak $81 juta (RM312.6 juta) dari Bank Bangladesh pada 2016.

Rompakan di Bangladesh menerusi permintaan palsu pemindahan SWIFT, menyaksikan institusi kewangan di seluruh dunia bertindak meningkatkan kawalan keselamatan masing-masing. Sehingga kini, pihak berkuasa belum menahan dalang di sebalik serangan itu.

Sasaran terbaru ke atas sebuah bank pusat mungkin mendorong institusi kewangan di seluruh dunia mengkaji sistem pertahanan siber mereka.

“Anda menggagalkan satu serangan, tetapi tidak dapat menahan penggodam itu,” kata Tom Kellermann, bekas anggota pasukan keselamatan Bank Dunia.

“Musuh itu masih berada di luar sana, cuba mengeksploitasi sistem itu.”

BNM tidak memberitahu siapa di sebalik serangan itu atau bagaimana mereka memasuki pelayan SWIFT. Bank pusat yang menyelia 45 bank komersial di Malaysia berkata, serangan siber itu tidak mendatangkan gangguan ke atas sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan mereka.

BNM tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat ke atas mesej dipalsukan itu dan bagaimana dengan pembabitan bank lain.

Bagaimanapun, BNM berkata, mereka melaksanakan perlindungan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan dan sedang menyiasat serangan itu dengan bantuan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan serta antarabangsa.

“Semua transaksi tanpa kebenaran dihentikan dengan tindakan pantas melalui kerjasama erat dengan SWIFT, bank pusat dan institusi kewangan lain,” katanya dalam satu kenyataan yang mendedahkan serangan siber itu.

Polis Malaysia dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, yang sedang menyiasat rompakan Bank Bangladesh, gagal dihubungi untuk komen.

SWIFT, Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Seluruh Dunia (SWIFT), enggan mengulas serangan itu kerana mereka tidak memberi komen ke atas entiti individu.

“Tiada petunjuk rangkaian dan perkhidmatan pemesejan teras kami terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Tidak jelas sama ada dana itu dikeluarkan, tetapi berjaya dipintas bank lain. Rompakan siber sebelum ini membabitkan wang curian dipindahkan ke beberapa bank sebelum ia sampai kepada dalangnya.

Mudah diserang

Timbalan Gabenor Bank Bangladesh, Abu Hena Mohd Razee Hassan berkata, serangan terbaru itu menunjukkan sistem SWIFT masih mudah diserang.

“Selepas serangan ke atas bank pusat kami, SWIFT mengambil beberapa langkah untuk melindungi sistem di seluruh dunia, tetapi ia masih berlaku, bermakna penjenayah lebih berkemampuan dan mempunyai senjata lebih baik.

“Jadi, ini masanya untuk terus menambah baik sistem pemindahan kewangan secara global,” katanya kepada Reuters in Dhaka.

Februari lalu, bank pusat Rusia berkata, penggodam tidak dikenali mencuri 339.5 juta rouble (RM22.9 juta) dari sebuah bank Rusia tahun lalu dalam serangan menerusi sistem SWIFT.

SWIFT sebelum ini berkata, rangkaian pusatnya tidak pernah digodam, tetapi terminal beberapa bank yang digunakan untuk mengakses rangkaian itu terjejas sejak beberapa tahun lalu.

SWIFT yang berpangkalan di Brussels berkata, rompakan digital pada akhir tahun lalu menjadi lebih penting kerana penggodam menggunakan peralatan dan teknik canggih untuk melancarkan serangan baru.

SWIFT enggan mendedahkan jumlah serangan atau mengulas mengenai kes yang diketahui ramai, termasuk serangan ke atas Bank Antarabangsa Far Eastern di Taiwan dan Bank Asia NIC di Nepal. - Bernama
Penggodam cuba rompak Bank Negara Malaysia Penggodam cuba rompak Bank Negara Malaysia Reviewed by Admin on March 30, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.