Seo Services

PRU-14: Siapa Kata Penjawat Awam Tak Boleh Cuti?


Penjawat awam bebas mengambil cuti tahunan atau ke luar negara kerana Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengeluarkan arahan pembekuan cuti sempena Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, bagaimanapun mereka yang terbabit secara langsung dengan PRU-14 seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada organisasi untuk sebarang urusan permohonan cuti.

"Kita tidak keluarkan arahan khusus untuk beku cuti kepada semua kakitangan awam tetapi kalau yang terbabit dengan pilihan raya sudah tentu mereka akan sibuk tidak mungkin mereka hendak cuti atau dibenarkan cuti termasuk ke luar negara.

"Bagi jabatan atau agensi awam lain mereka boleh bercuti seperti biasa tiada masalah dan segala urusan itu atas budi bicara ketua masing-masing," katanya kepada media selepas merasmikan Program Jangkauan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zon Timur 2018, di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebab untuk menghalang 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara bercuti disebabkan PRU-14 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan lain, Zainal Rahim berkata, seramai 800,000 pesara sektor awam kini boleh dikesan dan dihubungi melalui aplikasi yang diwujudkan pihaknya iaitu 1PesaraFindMe, baru-baru ini.

Katanya, aplikasi yang dibangunkan secara jaringan pangkalan atas talian itu membolehkan pihaknya terus berhubung dengan pesara kerajaan terutama dalam mendapatkan maklum balas mengenai kehidupan mereka selepas tamat perkhidmatan.

"Aplikasi ini juga boleh diakses menggunakan telefon pintar, kita bangunkan aplikasi ini untuk menjejaki mereka, malah maklumat seperti nombor telefon dan alamat pesara juga boleh diperoleh bagi memudahkan perhubungan pada masa hadapan," katanya.

Zainal Rahim berkata, aplikasi 1PesaraFindMe memudahkan kerajaan untuk menghubungi pesara dengan pantas jika mereka diminta menyertai segala program dianjurkan kerajaan.

Beliau berkata, sebelum ini inisiatif 1Pesara sudah diperkenalkan pada tahun 2014 menerusi kerjasama empat agensi iaitu JPA, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia sebagai satu pengurusan pesara kerajaan dengan lebih sistematik.-myMetro

PRU-14: Siapa Kata Penjawat Awam Tak Boleh Cuti? PRU-14: Siapa Kata Penjawat Awam Tak Boleh Cuti? Reviewed by Unknown on March 09, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.