Seo Services

Empat Garis Panduan



TAWAU: Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat perkara yang perlu dipertimbangkan oleh setiap rakyat sebelum menunaikan tanggungjawab mereka memilih kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri berkata, perkara pertama ialah rakyat perlu menilai siapakah yang selama ini telah terbukti mampu menjaga keharmonian negara sejak merdeka meski­pun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Beliau berkata, hubungan serasi antara setiap kaum di negara ini tercapai kerana kerja keras kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui dasar berkesan sehingga mewujudkan ikatan toleransi antara rakyat yang berbeza budaya.

“Kedua, siapa yang akan menentukan kestabilan negara kerana kestabilan ini punca kita boleh buat apa sahaja untuk rak­yat, tanpa kestabilan politik mana mungkin ada hubungan baik ini serta tidak mungkin ada kerjasama baik antara Kerajaan Pusat dan negeri.

“Apabila kita berdepan pilihan raya, fikirlah siapa yang dapat memberi faedah kepada kita untuk mencapai impian, cita-cita dan kehendak kita,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini malam tadi.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Perdana Menteri berkata, per­kara ketiga ialah menilai siapa yang mampu menjaga keamanan negara terutama di pantai timur Sabah daripada ancaman asing dan jenayah rentas sempadan.

“Saya sebagai pemimpin sentiasa memberikan komitmen untuk terus menjaga keamanan di pantai timur Sabah, saya akan te­rus pertahankan rakyat Sabah dan setiap inci bumi Sabah,” katanya.

Menurut Najib, kemajuan eko­nomi dan keupayaan serta kesungguhan kerajaan untuk berkongsi kek kekayaan ekonomi kepada rakyat adalah perkara keempat yang perlu dipertimbangkan demi memastikan rakyat dapat hidup aman dan selesa sepanjang masa.- Utusan Online
Empat Garis Panduan Empat Garis Panduan Reviewed by uMieySurianie on April 09, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.