Seo Services

Kerajaan Negeri Komited Pastikan Litupan Hutan Dikekal



SARIKEI: Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan litupan hutan dikekalkan dan program restorasi landskap hutan dalam kawasan terjejas dilaksana.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk merealisasi matlamat itu, kerajaan menambah keluasan kawasan Heart of Borneo (HoB) daripada 2.1 juta hektar kepada 2.7 hektar.

“Kawasan HoB merupakan kawasan tadahan air terbesar dan membekalkan keperluan air kepada empangan hidroelektrik di Sarawak seperti di Bakun, Baleh, Murum dan Batang Ai.

“Kini, kerajaan negeri menyasar untuk mewartakan seluas enam juta hektar sebagai Estet Hutan Kekal (PFE) dan setakat ini, seluas 4.3 juta hektar telah diwartakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2018 yang telah berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pemangku Pengarah Hutan Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Dato Mohammad Ridza Awang dan Residen Bahagian Sarikei Mohamad Junaidi Mohidin. Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini bertemakan ‘Forest and Sustainable Cities.’ Awang Tengah berkata, untuk mengekalkan dan menjamin kelestarian flora dan fauna,

Sarawak menyasarkan satu juta hektar kawasan di negeri ini diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya.

 “Setakat ini, kita berjaya mewartakan seluas 1,020,840.40 hektar yang merangkumi 788,889.40 hektar kawasan daratan dan 231,954 hektar kawasan berair.

“Kerajaan negeri juga akan terus mempertingkatkan usaha memerangi sebarang aktiviti haram yang boleh memusnahkan hutan dengan meningkatkan rondaan di lapangan, kolaboratif dengan agensi penguat kuasa lain dan menggunakan teknologi seperti dron,” jelasnya.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata, menjelang 2020 semua lesen pembalakan di negeri ini perlu mendapatkan pensijilan perhutanan sebagai bukti untuk menguruskan kawasan lesen tersebut secara mampan.

Katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik mana-mana lesen pembalakan yang gagal mematuhi arahan ini.

“Bagi memantapkan lagi usaha ini, kerajaan negeri mahu setiap aktiviti pembalakan di Sarawak mematuhi Sarawak Timber Legality Verification (STLVS).

 “Untuk mendapatkan STLVS ini, semua pemohon lesen pembalakan perlu melalui proses audit yang dibahagikan kepada beberapa peringkat,” jelasnya.-Utusan Borneo.
Kerajaan Negeri Komited Pastikan Litupan Hutan Dikekal Kerajaan Negeri Komited Pastikan Litupan Hutan Dikekal Reviewed by Anyin Ayeng on April 01, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.