Seo Services

Kes Bakar Pusat Tahfiz: Lebih 50 Saksi Akan Dipanggil


KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan memanggil lebih 50 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes dua remaja yang didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang ditetapkan pada 30 Mei di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memaklumkan demikian semasa sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah hari ini dan turut memberitahu dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Joanne Chua Tsu Fae manakala peguam Boestaman Ahmad dan Roswadya Roslan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pusat tahfiz dan keluarga mangsa.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Mahkamah, bagaimanapun boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku kira-kira 5.15 pagi, 14 Sept 2017, seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar. – BERNAMA
Kes Bakar Pusat Tahfiz: Lebih 50 Saksi Akan Dipanggil Kes Bakar Pusat Tahfiz: Lebih 50 Saksi Akan Dipanggil Reviewed by uMieySurianie on April 11, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.