KUALA LUMPUR – Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejak 1 September lalu terus menimbulkan rasa kurang senang orang ramai selepas harga barang meningkat di pasaran seolah-olah kerajaan masih melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, stok lama di pasaran tidak sepatutnya mengalami sebarang kenaikan harga kerana masih tertakluk kepada kadar sifar peratus GST yang dilaksanakan malah tempoh selama tiga bulan tanpa cukai menyebabkan harga barang berada dalam kawalan.
Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja SST dilaksanakan, pelbagai jenis aduan mengenai kenaikan harga barang dibuat oleh orang ramai dan menimbulkan persoalan sama ada pelaksanaan sistem sebenarnya membebankan rakyat atau sebaliknya.
“Berbanding semasa GST dilaksanakan, SST mempunyai tempoh bertenang atau grace period selama tiga bulan cukai berkadar sifar, jadi sepatutnya harga barang menjadi lebih seimbang apabila SST diperkenalkan, jadi tidak wujud isu cukai berganda antara GST dan SST, tetapi nampaknya tetap berlaku kenaikan harga.
“Keadaan ini akan mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sama seperti ketika GST dilaksanakan. Pada masa itu pelbagai isu serupa berlaku seperti tambah nilai kad prabayar serta isu barang yang dikecualikan, justeru kerajaan perlu memastikan SST ini tidak membebankan rakyat. Ada sebab mengapa rakyat marah dengan GST sebelum ini, kerajaan perlu mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George menganggap kebanyakan pihak tidak kira pembekal, pengilang, peniaga dan pengguna masih berada dalam keadaan keliru apabila melihatkan harga barang naik dan hanya tahu meletakkan kesalahan kepada satu sama lain.
“Ramai yang berasa keliru dan kecewa, bukan kedai-kedai mewah sahaja naik harga, kedai-kedai untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) juga terkesan dengan SST. Golongan peniaga pula berada dalam ketakutan kerana mereka sering dipersalahkan dalam isu ini.
“Saranan saya, wujudkan satu badan khas seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu, kaji harga-harga barang di seluruh negara selepas pelaksanaan SST dan kemudiannya sediakan satu kertas kerja bagi menangani kenaikan harga,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor pula, menggesa kerajaan mengkaji kesan pelaksanaan SST supaya kenaikan harga barang tidak terlalu menekan rakyat.
“MTUC kecewa apabila SST dilaksanakan, pelbagai aduan diterima daripada rakyat, penipuan berlaku dengan terang-terangan. Ada peniaga mengenakan harga yang tinggi pada hari pertama pelaksanaan, kerajaan pula membuat kenyataan tanpa tindakan sedangkan rakyat sudah rasa tertipu dan teraniaya, kerajaan perlu mengambil tindakan supaya rakyat terus terbela,” katanya. – UTUSAN
Harga Barang Naik Selepas SST Dilaksanakan – FOMCA
Reviewed by Admin
on
September 04, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
September 04, 2018
Rating:

No comments: