KUALA LUMPUR: Enam pertuduhan dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah merupakan tuduhan yang sengaja dicipta Jabatan Peguam Negara, dakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam kepada bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan berkenaan disifatkannya sebagai tuduhan bodoh memandangkan keputusan yang dibuat anak guamnya ketika itu bersifat keputusan eksekutif.
“Ada 6 pertuduhan yang dikenakan kepada Najib dan Irwan, ia berkaitan isu menggunakan wang untuk membayar sesuatu perkara yang ketika itu perlu diberikan keutamaan.
“Ia merupakan keputusan eksekutif dan kami sangat berharap supaya perbicaraan dapat dilakukan. Saya rasa Jabatan Peguam Negara sengaja menciptanya dan merupakan tuduhan bodoh.
“Tuduhan ini boleh dipersoalkan kerana ia membabitkan keputusan eksekutif, membabitkan tugasnya sebagai menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya pembayaran tidak dibuat segera pada ketika itu, mereka akan dipersalahkan pula atas sikap mengabaikan tanggungjawab, iaitu gagal membayar hutang.
“Perdana menteri, menteri kewangan, ketua setiausaha perbendaharaan, semuanya akan dipersalahkan kerana mengabaikan tanggungjawab mereka pula,” katanya.
Shafee menjelaskan, 4 daripada 6 pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Irwan merupakan pertuduhan membabitkan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Kata beliau, 6 pertuduhan itu bersifat politik dengan matlamat utamanya untuk menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas.
“Mereka bersorak kepada rakyat untuk dapatkan sejumlah wang sebelum ini, jadi kali ini mereka boleh katakan sudah memperoleh RM6.6 bilion. Tetapi wang itu tidak ada kaitan dengan wang yang hilang,” katanya.
Shafee turut berhasrat untuk memindahkan kes dari Mahkamah sSesyen kepada Mahkamah Tinggi bagi mengelakkan sebarang campur tangan daripada Peguam Negara.
“Kami berkemungkinan bawa ke Mahkamah Tinggi kerana ia lebih mempunyai orang berkelayakan, saya tidak katakan Mahkamah Sesyen tidak. Tetapi ia merupakan kes serius.
“Lebih rendah mahkamah itu, lebih kuat mereka akan ditekan, kerana ada unsur politik dalam isu ini. Mahkamah Tinggi lebih bebas. Saya tidak mahu campur tangan daripada Peguam Negara,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan pasukan pendakwa raya yang memberikan kertas pertuduhan pada saat akhir, iaitu 5 minit sebelum perbicaraan kes bermula.
“Kalau diberikan semalam, maka kami sudah bersedia. Kami tidak perlu diberikan masa selama setengah jam untuk baca pertuduhan yang diberikan itu.
“Kami dimaklumkan bahawa kertas pertuduhan yang muktamad hanya lengkap awal pagi ini, tetapi ia tidak benar kerana mereka memfailkan pertuduhan pada petang semalam.
“Mereka tidak berlaku jujur dengan kita. Tidak ada salahnya berikan kami kertas pertuduhan lebih awal. Saya sendiri tidak faham kenapa pendakwa raya bersikap begini,” katanya.
Kedua-dua Najib dan Irwan dituduh secara bersama-sama di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah dana kerajaan dan jika disabitkan kesalahan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.
Mereka meminta dibicarakan bagi semua 6 pertuduhan tersebut.- FMT
6 tuduhan pecah amanah terhadap Najib, Irwan sengaja dicipta, kata Shafee
Reviewed by Admin
on
October 25, 2018
Rating:

No comments: