KUALA LUMPUR 17 Okt. - Sebanyak 291 barangan atau 70 peratus daripada 417 barangan, mencatatkan penurunan harga sejak cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, analisa perubahan harga itu dilakukan berdasarkan perbandingan harga purata antara Mei dan September 2018.
Menurutnya, sebanyak 115 barangan atau 27 peratus mengalami kenaikan purata manakala 11 barangan iaitu tiga peratus tiada perubahan harga.
“Pecahan 291 barangan yang mencatatkan penurunan antaranya terdiri daripada barangan berbungkus, tin, pek dan botol (120 barangan), barangan segar (70 barangan), makanan dan barangan bayi (43 barangan) serta barangan kebersihan, minuman, kering yang masing-masing dengan julat penurunan harga antara 0.11 peratus hingga 37.61 peratus.
“Pecahan 115 barangan yang mencatatkan kenaikan antaranya terdiri daripada barangan segar (63 barangan), barangan berbungkus, tin, pek dan botol (34 barangan), barangan kebersihan, minuman, kering serta makanan dan barangan bayi yang masing-masing dengan julat kenaikan harga antara 0.09 peratus hingga 41.65 peratus,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) yang meminta kerajaan menyatakan mengapa harga jualan barang rata-rata masih tinggi meskipun cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah digantikan dengan SST. - UTUSAN ONLINE
Chong Sahkan 291 Harga Barang Turun Sejak SST Dilaksanakan
Reviewed by Admin
on
October 17, 2018
Rating:

No comments: