Seo Services

Dua kategori projek dibatalkan kerajaan pusat


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata terdapat dua kategori projek yang dibatalkan kerajaan pusat.

Beliau berkata dua kategori projek berkenaan ialah projek ‘hot air’ iaitu janji-janji manis bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khasnya semasa musim pilihan raya dan tidak mendapat kelulusan bajet daripada Parlimen.

Kategori kedua pula katanya ialah ‘projek kroni’ iaitu projek yang ditauliah kepada kontraktor bukan menerusi tender terbuka dan melibatkan kos tinggi.

Menurutnya terdapat lebih 100 projek di bawah kategori-kategori itu di seluruh negara termasuk di Sarawak telah dibatalkan pelaksanaannya oleh kerajaan pusat.

“Di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini banyak projek hanyalah janji-janji kosong Najib yang tidak dapat ditunaikan kerana kekurangan dana.

“Sebab itu banyak majlis pecah tanah diadakan tetapi projek tidak berjalan hingga kini kerana tiada peruntukan dilulus oleh Parlimen,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini semalam.

Chong yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan pengerusi DAP Sarawak berkata bagi ‘projek kroni’ ia dibatalkan kerana bukan sahaja pentauliahan tanpa tender terbuka tetapi didapati tidak memberi impak besar kepada negara dan rakyat.

Justeru ujarnya, dakwaan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu kerajaan persekutuan membatalkan projek-projek yang telah diluluskan hanyalah gambaran jelas mereka bimbang bakal hilang kuasa pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Dalam perkembangan sama, Chong turut menjelaskan tentang penantian 12 tahun penduduk di RPR Tondong agar tangki septik di kawasan perumahan itu diganti baharu selepas DAP membangkitkan isu berkenaan menerusi media Ogos lalu.

Beliau berkata SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) baru-baru ini mendedahkan kerajaan pusat membatalkan projek menggantikan tangki septik di RPR Tondong serta kerja-kerja membaik pulih RPR Sri Wangi dan RPR Sibujaya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan Surat Setuju Terima untuk ketiga-tiga projek berkenaan seperti didakwa SUPP.

Beliau menambah, ia menjelaskan Kementerian Kewangan tidak pernah meluluskan peruntukan bagi ketiga-tiga projek tersebut dan semua itu hanyalah janji kosong Najib.

“Masalah ini sudah 12 tahun berlaku, aduan telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tetapi tiada tindakan diambil cuma selepas perkara ini dibangkitkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian mengumumkan peruntukan sekitar RM200,000 untuk projek ini.

“Ini menunjukkan, GPS hanya akan bertindak dan memberi maklum balas kepada masalah rakyat apabila mereka berdepan ancaman sebenar iaitu bakal tewas pada Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya. - UTUSAN BORNEO
Dua kategori projek dibatalkan kerajaan pusat Dua kategori projek dibatalkan kerajaan pusat Reviewed by Admin on October 22, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.