Seo Services

Kerajaan benarkan anak tanpa kerakyatan bersekolah: Alan


Senator Alan Ling memberitahu bahawa kerajaan baharu kini memperkenalkan dasar baharu yang membenarkan anak-anak tanpa kerakyatan atau dokumen kelahiran sah menerima pendidikan kerana ia adalah hak asasi manusia yang asas.

Ketika membahas usul hak kanak-kanak bagi mendapatkan pendidikan pada Persidangan Belia Antarabangsa – ‘Tiada Siapa Patut Ditinggalkan di Belakang’ di Astana, ibu kota Kazakhstan, Alan berkata kanak-kanak terbabit wajar diberi peluang ke sekolah sementara menunggu sehingga mereka memperoleh kerakyatan atau sijil lahir sah.

“Saya membahaskan usul pertama saya pada persidangan berhubung isu kewarganegaraan, lebih-lebih lagi di Sarawak dan ramai penduduk peribumi sendiri tiada dokumen pengenalan diri atau status kerakyatan.

“Satu mekanisme baharu perlu mengatasi halangan termasuk kerenah birokrasi bagi mempermudah proses kerakyatan kanak-kanak ini supaya negara dapat mengekalkan bakat-bakat yang lahir dan layak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara,” katanya.

Alan berkata, isu itu penting dibahaskan kerana Malaysia menyedari bahawa belia sebagai masa depan negara dan sehubungan itu kerajaan baharu membuka dasar kanak-kanak tempatan khasnya penduduk peribumi negara ini tanpa sijil lahir yang sah.

Delegasi negara ke persidangan yang berlangsung pada 19 dan 20 Oktober itu disertai Alan dan diketuai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim.

Bercakap mengenai persidangan itu, ketika menghubungi Utusan Borneo dari Astana, Kazakhstan, semalam Alan berkata ini merupakan landasan terbaik membentang dan menangani isu-isu semasa berkaitan belia dan mencari penyelesaian kolektif serta usaha ke arah menyokong usul-usul diterima baik dan dirumuskan oleh masyarakat antarabangsa.

Alan yang merupakan senator termuda Dewan Rakyat berkata, peluang bagi beliau menghadiri persidangan itu amat penting kerana membantu memahami lebih banyak isu mengenai belia di peringkat global dan merupakan landasan terbaik Malaysia mengambil bahagian menyokong rancangan dan idea-idea membina mengatasi isu-isu dihadapi belia global.

“Menerusi persidangan itu, kita dapat mengemukakan idea-idea bernas melalui penglibatan negara menangani isu-isu sosial mengenai belia Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Alan menjelaskan daripada pemerhatian beliau masalah belia negara dikaitkan terutama kepada tiga faktor iaitu penyalahgunaan dadah, penderaan kanak-kanak dan hak pendidikan dibahaskan beliau.

Daripada aspek penyalahgunaan dadah, beliau sentiasa mahukan kerajaan memerangi sehingga ke akar umbi dan seterusnya dalang-dalang pengedaran dadah di negara ini kerana isu penagihan dadah membawa kepada banyak masalah sosial.

Di samping hutang-hutang ‘memburu’ mereka menjadi penagih tegar dan seterusnya membawa kepada kemusnahan institusi keluarga sehingga menjejaskan pertumbuhan belia dan nilai atau akhlak murni pada mereka.

“Seterusnya ialah isu penderaan kanak-kanak menyaksikan kanak-kanak dipaksa menjadi buruh dan penderaan domestik.

“Memandangkan mereka sangat mentah dan tidak menyedari hak mereka pada usia muda, maka adalah mustahak bagi jiran-jiran dan rakan-rakan mengetahui mengenai insiden itu, bertindak betul dan wajar melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, sikap tidak ambil peduli dan menutup mata daripada perkara-perkara seperti itu harus diketepikan dan sebagai seorang manusia, masyarakat perlu prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. - UTUSAN BORNEO
Kerajaan benarkan anak tanpa kerakyatan bersekolah: Alan Kerajaan benarkan anak tanpa kerakyatan bersekolah: Alan Reviewed by Admin on October 22, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.