PETALING JAYA: Pemuda PPBM memberi amaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), mengatakan jangan pandang mudah sentimen masyarakat pribumi.
Exco Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata negara tidak patut mengejar polisi itu ketika isu-isu asas belum dapat diatasi seperti rasisme dalam masyarakat dan upaya bangsa Melayu dalam segenap hal.
“Jangan sekadar mengejar kulit tetapi isinya kosong. Tidak guna mengejar sesuatu dasar tetapi hakikatnya kita telah menekan butang yang boleh menyebabkan lagi perpecahan,” katanya dalam kenyataan.
Pemuda PPBM meminta menteri merenung adakah beliau bersedia memastikan semua sekolah aliran ditutup, dan mengabaikan dasar afirmatif menyasarkan kaum-kaum selain Bumiputera.
“Jika tidak, kembalilah kepada realiti dan fokus kepada acuan kita. Memastikan keharmonian terbela dan rasisme terhakis,” katanya Ashraf.
Pemuda PPBM mengingatkan menteri bahawa sentimen masyarakat pribumi mempunyai kesan besar kepada keharmonian negara.
“Perkara 3, 153, 160 dan sewaktu dengannya perlu kekal biarpun kita maklum perihal ini tidak mampu diganggu gugat, tetapi jangan ada sedikitpun cubaan untuk menyentuh perkara-perkara tersebut walau apa cara sekalipun,” katanya.
Perkara 3 merujuk kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, Perkara 153 menyentuh kedudukan orang Melayu dan penduduk asal, manakala Perkara 160 pula mentakrifkan “Melayu” dan “Orang Asli”.
Perkara 153 yang memberi keistimewaan kepada Bumiputera dikatakan bercanggah dengan Perkara 2.2 ICERD, yang menyatakan sebarang langkah untuk membangunkan atau melindungi kumpulan kaum tertentu harus dihentikan selepas tempoh masa tertentu.
Waytha pada Selasa berkata ratifikasi ICERD boleh dilakukan dengan pengecualian terhadap peruntukan-peruntukan tertentu dalam perjanjian antarabangsa itu.
Ditanya sama ada Perkara 2.2 melanggar Perkara 153, Waytha berkata “diskriminasi positif” atau tindakan afirmatif tidak boleh dianggap diskriminasi menyeluruh.
Mengikut ICERD, pemeterai wajib menggunakan dasar-dasar tindakan afirmatif “sekiranya wajar” dan dalam satu tempoh masa tertentu bagi menjamin hak asasi dan kebebasan kumpulan kaum tertentu yang sebelumnya mengalami diskriminasi.- FMT
ICERD: Jangan pandang mudah sentimen pribumi, amaran PPBM pada menteri
Reviewed by Admin
on
October 26, 2018
Rating:

No comments: