Seo Services

Pemilikan tanah masyarakat Melayu akan terus diiktiraf


KUCHING: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus mengiktiraf pemilikan tanah dengan mengeluarkan Surat Hak Milik Tanah kepada masyarakat Melayu di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia bagi memastikan tanah-tanah berkenaan mempunyai nilai tinggi membantu masyarakat itu.

"Program Penyukatan Kampung Tradisi akan diteruskan. Kini, kampung-kampung dalam bandar raya Kuching yang dulu tidak ada Surat Hak Milik Tanah sekarang sudah ada.

"Ia adalah hasil daripada program penyukatan di kampung dimana mereka diberi surat hak milik untuk tempoh selama-lamanya," katanya dalam ucapan dasar ketika merasmikan Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-7 (SBMS7) di sini, hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berkata, ia merupakan komitmen kerajaan negeri bagi mengiktiraf kewujudan kampung-kampung masyarakat Melayu.

Jelas beliau, kerajaan menyedari bahawa kampung-kampung berkenaan telah sekian lama wujud.

"Kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Semula Bandar juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk orang Melayu mencebur diri dalam bidang pembangunan hartanah mereka.

"Ini bagi memastikan orang Melayu masih memiliki aset di lokasi-lokasi yang strategik di dalam bandar," tegasnya.

Kata beliau, pindaan undang-undang terhadap Kanun Tanah Negeri baru-baru ini yang berpaksikan domain kawasan peribumi (NTD) memberi maksud pengiktirafan kepada semua Bumiputera Sarawak termasuk orang Melayu.

"Orang Melayu juga mempunyai Hak Tanah Adat (NCR) walaupun tidak seluas seperti kaum Bumiputera yang lain.

"Sudah banyak juga kawasan tanah adat orang Melayu sudah disukat dan diberi hak milik," katanya. - UTUSAN BORNEO
Pemilikan tanah masyarakat Melayu akan terus diiktiraf Pemilikan tanah masyarakat Melayu akan terus diiktiraf Reviewed by Admin on October 30, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.