KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) menyifatkan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berhubung Jawatankuasa Pemandu Semak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai 'politik murah'.
"Tak perlu berkata mengenai perkara itu. Itu politik murah," ujarnya ringkas.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Chong berhubung komposisi dalam Jawatankuasa Pemandu Semak MA63 ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sidang kedua Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ke-22 di DeTAR PUTRA Unimas di sini, hari ini.
Semalam, Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu sidang media berkata Jawatankuasa Pemandu Semak MA63 tidak membuat keputusan berdasarkan undi majoriti, tetapi bergantung kepada kebolehan wakil Sarawak menyatakan dengan jelas tuntutan negeri ini.
Menurutnya, jumlah wakil dari Sarawak dalam Jawatankuasa Pemandu MA63 tidak penting, sebaliknya bergantung kepada kebolehan Abang Johari Tun Openg dan Peguam Besar Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid menyatakan dengan jelas tuntutan Sarawak.
"Semua masalah ini timbul kerana sikap (pemimpin) BN (Barisan Nasional), sekarang GPS (Gabungan Parti Sarawak), mereka selalu memikirkan majoriti akan membuat keputusan, perkara ini berlaku dalam DUN (Dewan Undangan Negeri).
"Di dalam DUN, mereka sentiasa berpandangan majoriti boleh membuli minoriti, jadi apabila beliau (Abang Johari) di pihak minoriti, mereka akan panik, malah sebelum Jawatankuasa Pemandu mengadakan mesyuarat pertama, beliau seperti 'takut'," ujarnya.
Menurutnya, seperti sebelum ini hanya terdapat dua atau tiga wakil dari Sarawak termasuk beliau dalam rundingan menentukan kadar royalti minyak dan gas dibayar kepada Sarawak tetapi mereka berjaya meyakinkan jawatankuasa itu (PH).
"Saya tidak tahu kenapa mereka (Kerajaan Sarawak) menolak tawaran ini, mungkin kerana keegoan mereka atau (hanya kerana) cadangan itu datang daripada saya," katanya.
Justeru, ujarnya Abang Johari harus memainkan peranannya menentukan tuntutan Sarawak dalam Jawatankuasa Pemandu Semak MA63 bukannya 'gentar' walaupun sebelum jawatankuasa itu mengadakan rundingan pertamanya.
Chong berkata Abang Johari perlu menyatakan tuntutan Sarawak seperti termaktub dalam MA63 khususnya bayaran royalti minyak kepada negeri ini selepas kerajaan negeri menolak cadangan kerajaan PH.
"Bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus berbanding 5 peratus sekarang dan 50 peratus cukai pendapatan yang dikumpul di Sarawak disalurkan kepada kerajaan ini sememangnya dalam manifesto kita (PH).
"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sarawak tidak mahu menerima cadangan ini menyebabkan perkara ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pemandu Semak MA63.
"Beliau Abang Johari) bersama Peguam Besar Negeri berada dalam jawatankuasa ini, jadi terpulang kepada beliau menyatakan dengan jelas tuntutan Sarawak," katanya semalam.- UTUSAN BORNEO
Kenyataan Chong 'politik murah', kata Abg Jo
Reviewed by Admin
on
October 30, 2018
Rating:

No comments: