KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa ramai lagi pegawai kerajaan dari pentadbiran sebelum ini akan berhadapan tindakan undang-undang kerana rasuah.
“Sudah enam bulan (sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya); kami dalam proses menyusun semula kerajaan, Sebenarnya, secara amalan, mewujudkan kerajaan baru. Sudah tentu, kita memerlukan para pegawai yang berpengalaman; namun, sesetengah pegawai yang berpengalaman didapati melakukan rasuah dan sesetengah mereka telah pun didakwa atas kesalahan rasuah.
“Tetapi masih ada ramai lagi. Sebaik kita mendapat bukti, kita akan bertindak terhadap mereka namun buat masa sekarang, kita mempunyai tugas yang diperlukan untuk memerintah negara ini, kita tidak boleh hanya tertumpu kepada rasuah sahaja,” katanya pada persidangan akhbar selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah di sini.
Dr Mahathir menjelaskan bahawa sesetengah pegawai kanan kerajaan yang terlibat itu akan dikekalkan buat sementara waktu memandangkan perkhidmatan mereka masih diperlukan bagi membantu kerajaan tetapi sebaik sahaja tugas itu selesai mereka akan diberhentikan.
Baharu-baharu ini, sejumlah pegawai kerajaan didakwa kerana rasuah dan pecah amanah termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pertubuhan Risikan Luar Malaysia, Datuk Hasanah Ab Hamid.
Dr Mahathir juga berkata kerajaan akan merumuskan undang-undang baharu dan memansuhkan sesetengah undang-undang yang lama dan menindas oleh pentadbiran sebelum ini bagi memastikan Putrajaya dapat menyediakan kepada rakyat garis panduan yang sebenar berhubung dengan rasuah.
“Jadi, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. Ramai orang, banyak masalah. Kita cuba untuk selesaikan masalah sebanyak yang mungkin boleh kami lakukan,” katanya.
Peresidangan Anti-Rasuah, yang bertemakan ‘Good Governance and Integrity for Sustainable Business Growth’, dianjurkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M).
Ia dihadiri kira-kira 500 peserta dan dihoskan oleh penceramah dari luar negara dan tempatan termasuk presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar; Ketua Pengarah Jabatan Immigresen,Datuk Seri Mustafar Ali; bekas petugas Petro Saudi, Xavier Andre Justo dan penasihat anti-rasuah UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime) bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Francesco Checchi. -- BERNAMA
Ramai lagi pegawai kerajaan akan dihadapkan ke mahkamah - Perdana Menteri
Reviewed by Admin
on
October 30, 2018
Rating:
No comments: