Seo Services

Sarawak kuat kuasa undang-undang baharu untuk kekang rabies mulai 1 Dis


KUCHING: Sarawak memperkenalkan Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pelesenan dan Kawalan Anjing) 2018 ang akan berkuat kuasa pada 1 Disember ini.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata undang-undang baharu itu diperkenalkan susulan penularan wabak rabies di negeri ini sejak kes pertama pada 2017.

Undang-undang kecil baharu ini katanya, meliputi semua 26 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

“Pada masa ini semua 26 PBT di Sarawak mempunyai Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing sendiri tetapi susulan penularan wabak rabies ini, terdapat keperluan untuk menyatukan semua 26 undang-undang kecil pelesenan anjing ini di bawah satu undang-undang yang terpakai di seluruh negeri.

“Kita yakin, undang-undang kecil baharu yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember 2018 ini akan dapat membantu usaha kita untuk mengekang wabak ini dengan kerjasama daripada semua pihak,” katanya pada sidang media di Tingkat 2, Bangunan Baitukmakmur di sini hari ini.

Di bawah undang-undang kecil baharu itu, pemilik anjing perlu menunjukkan bukti bahawa anjing mereka sudah menerima vaksin anti-rabies atau pemvaksinan lain sebelum lesen dapat dikeluarkan atau diperbaharui.

Undang-undang itu juga memperuntukan lesen yang dikeluarkan sah untuk tempoh tiga tahun dengan yuran RM30 bagi anjing yang dikasi dan RM90 untuk anjing yang tidak dikasi.

Undang-undang ini turut memerlukan PBT untuk mengeluarkan tag logam sebagai bentuk pengenalan anjing dan pemilik perlu mengimplan anjing mereka dengan alat ID elektronik.

“Bagaimanapun, kita akan mengecualikan undang-undang ini ke atas anjing-anjing milik Angkatan Tentera, Polis, Kastam, Jabatan Veterinar atau mana-mana agensi kerajaan lain yang boleh dikecualikan.

“Pengecualian turut diberikan kepada semua anjing di kawasan rumah-rumah panjang untuk tempoh permulaan, tetapi mereka di rumah panjang dan juga kampung-kampung perlu membuat pemvaksinan ke atas anjing mereka,” katanya.

Antara peruntukan lain di bawah undang-undang ini ialah pemilik lesen anjing perlu melaporkan sebarang perubahan pemilikan kepada PBT dalam tempoh 30 hari dari tarikh pertukaran pemilikan dengan kadar yuran RM10.

Undang-undang ini juga memerlukan pemilik kedai haiwan peliharaan yang menjual anjing dan pembiak anjing untuk mendapatkan lesen bagi premis perniagaan mereka.

Yuran bagi pembiak anjing ialah RM1,000 setahun manakala kedai haiwan peliharaan yang menjual anjing dikenakan yuran RM200 setahun. Kegagalan mematuhi undang-undang ini boleh didenda maksimum RM10,000. - UTUSAN BORNEO
Sarawak kuat kuasa undang-undang baharu untuk kekang rabies mulai 1 Dis Sarawak kuat kuasa undang-undang baharu untuk kekang rabies mulai 1 Dis Reviewed by Admin on October 22, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.